Selepas rentetan 22 perlawanan tanpa kekalahan mereka terhenti ketika bertemu Southampton tempoh hari, Arsenal terus dirundung malang apabila turut tumbang dalam aksi suku akhir Piala Carabao 2018/19, awal pagi tadi.
Lebih pedih, lawan yang menewaskan The Gunners pada perlawanan ini adalah musuh tradisi London Utara, Tottenham Hotspur dengan keputusan 2-0 di Emirates Stadium.
Arsenal hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi gerakan cantik diantara Aaron Ramsey dan Henrikh Mkhitaryan di hadapan kawasan penalti Tottenham.
Paulo Gazzaniga yang ditugaskan mengawal gawang pasukan pelawat bertindak cemerlang menepis rembatan diledakkan Mkhitaryan, ketika pemain tengah Arsenal itu hanya berhadapan dengan penjaga gol kelahiran Argentina tersebut.
Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu kemudiannya memperkemaskan aksi bagi mengasak kubu tuan rumah.
Usaha yang dilancarkan membuahkan hasil pada minit ke-20 menerusi Son Heung-Min.
Son berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima umpanan jauh yang cantik daripada Dele Alli dan kemudiannya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Petr Cech.
Aaron Ramsey terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-43 selepas percubaannya dalam kawasan penalti terkena tiang gol lalu bola turut terkena Gazzaniga untuk sepakan penjuru buat Arsenal.
Menerusi satu gerakan yang seakan-akan serupa seperti jaringan pertama, Dele Alli melebarkan kelebihan dengan jaringan kedua pada minit ke-59 menerusi satu sepakan ‘chip’ menarik yang membuatkan Cech ‘terpukau’ dengan jaringan tersebut.
Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat permainan untuk menyaksikan Tottenham Hotspur menempah pertemuan menentang sebuah lagi kelab dari London, Chelsea pada aksi separuh akhir.
Satu lagi aksi separuh akhir pula bakal menemukan Manchester City dan kelab dari EFL League One, Burton Albion FC.