Piala Cabaran: JDT II Miliki Kelebihan Tipis Ke Atas UKM FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang beraksi di halaman sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sekadar mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas UKM FC dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran.

Anak buah Ervin Boban seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal mencari kelebihan yang lebih selesa sebelum perlawanan timbal balik di Cheras pada minggu hadapan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal yang berjaya menghukum kealpaan pertahanan UKM FC pada minit ke-63 perlawanan.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan, pembantu jurulatih UKM FC, Radzali Imbi enggan menuding kepada mana-mana pemain kerana dibolosi dengan jaringan tersebut.

Sebaliknya, beliau menekankan pemain sewajarnya memberikan fokus 100% dalam perlawanan sebegini, dan tidak mahu perkara sama berulang pada perlawanan timbal balik.

“Untuk 45 minit pertama, kami masih boleh mengawal permainan. Namun separuh masa kedua, kami kekurangan fokus dan melakukan kesilapan mudah,” ujar Radzali.

“Menentang pasukan berpengalaman seperti JDT II, pasukan tidak boleh melakukan kesilapan mudah sebegini. Masih ada 90 minit perlawanan di Cheras, dan kami akan memperbaiki apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan itu.

Bagi Boban pula, beliau berpuas hati dengan kemenangan 1-0 tersebut, walaupun gagal melebarkan kelebihan walaupun memiliki deretan peluang yang gagal disempurnakan barisan pemainnya.

“Saya tidak bersetuju ia bukan keputusan baik. Anda boleh bermain lebih baik, mencipta lebih banyak peluang, tetapi tidak mendapat [keputusan] apa yang dikehendaki,”

“Anda harus tahu UKM FC adalah pasukan yang baik. Kami menjangkakan perlawanan ini sukar selepas menganalisis mereka [lawan].

“Mereka dilatih dengan baik, merupakan pasukan yang baik, serta mempunyai pemain individu yang baik. Dalam perlawanan sebegini emosi memainkan peranan yang penting.

Dalam perlawanan tersebut, Boban turut melakukan sedikit perubahan taktikal dengan meletakkan Amirulhadi dan Mohd Shakir di tengah untuk menguasai perlawanan.

Boban bagaimanapun mengakui beliau sepatutnya lebih bersabar untuk melakukan pertukaran kedua, kerana tidak menyedari Rozaimi Abdul Rahman mengalami kecederaan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN