Piala Asia: Thailand Tersingkir, Vietnam Teruskan Impian Asia Tenggara Di Suku Akhir

Ia adalah dua kisah berbeza buat dua wakil Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati di kejohanan Piala Asia 2019.

Tatkala Thailand atau lebih dikenali dengan skuad Gajah Perang gagal menembusi tembok besar China untuk sah tersingkir dari kejohanan pada kali ini, skuad Naga Emas bimbingan Park Hang-Seo meneruskan mimpi indah mereka apabila melangkah ke suku akhir kejohanan buat kali pertama.

Thailand vs China

Thailand terpaksa menggigit jari apabila gagal mempertahankan pendahuluan yang mereka miliki untuk mara ke suku akhir – setelah China bangkit dari ketinggalan untuk menafikan skuad kendalian jurulatih sementara, Sirisak Yodyadthai.

Thailand memecat jurulatih mereka Milovan Rajevac setelah skuad Gajah Putih tewas 4-1 kepada India di perlawanan pertama -sebelum bangkit mencatatkan kemenangan ke atas Bahrain, dan seri menentang UAE untuk mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.

Penyerang berusia 20 tahun, Supachai Chaided memberikan Thailand pendahuluan hanya selepas 30 minit perlawanan.

(Photo by Zhizhao Wu/Getty Images)

China skuad kendalian Marcelo Lippi kemudiannya cuba bangkit pada babak kedua perlawanan dengan penguasaan yang mereka miliki -sebelum menjaringkan gol penyamaan melalui pemain gantian, Xiao Zhi.

Thailand yang kental bertahan selepas itu akhirnya dibocori sekali lagi selepas seorang lagi pemain yang dianggap veteran di dalam skuad China, Gao Lin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71.

Akhirnya Thailand terpaksa akur perjalanan mereka di UAE kali ini tamat di pusingan kedua kejohanan.

Jordan vs Vietnam

Kedua-dua pasukan bermula dengan positif dalam usaha mencari kelebihan gol awal. Jordan terlebih dahulu menguji pintu gawang Vietnam melalui percubaan Baha’ Abdelrahman pada minit ke-17, memaksa Dang Van Lam bertindak cemerlang untuk menafikannya.

Jordan turut menyaksikan beberapa percubaan selepas itu hampir memberikan kelebihan awal untuk mereka melalui Yaseen Mahmoud Bakheet, hasil gerakan Mousa Mohammad Suleiman dan dan Feras Zeyad Shilbaya.

Peluang terbaik Vietnam di babak pertama pula hanya hadir pada minit ke-35 perlawanan melalui rembatan kaki kiri Doan Van Hau -selepas hantaran satu dua yang bijak dengan Nguyen Cong Phuong- memaksa Amer Shafi di hadapan gol untuk menolak keluar percubaan tersebut.

Jordan akhirnya menemui jaringan yang dicari pada minit ke-38 melalui sepakan percuma deras ke penjuru kanan gawang – setelah Do Hung Dung dipersalahkan kerana menjaruhkan Salem Alajalin di luar kotak penalti.

(Photo credit should read KARIM SAHIB/AFP/Getty Images)

Enggan berputus asa, Vietnam bangkit pada babak kedua dengan corak permainan berbeza untuk menyayingi penguasaan Jordan di bahagian tengah. Usaha mereka berhasil apabila hantaran melencong Nguyen Trong Hoang ke hadapan gawang berjaya disempurnakan Nguyen Cong Phuong untuk gol penyamaan Vietnam pada minit ke-51 perlawanan.

Jordan sekali lagi hampir dihukum selepas itu setelah Shilbaya gagal menghadang kemas hantaran Nguyen Quang Hai, namun peluang terhidang gagal disempurnakan oleh Phan Van Duc. Keputusan penuh masa sebenar perlawanan terikat 1-1.

Sepanjang masa tambahan, kedua-dua pasukan kelihatan enggan mengambil risiko – menyaksikan kedua-dua penjaga gol tidak diuji – sebelum penentuan sepakan penalti terpaksa digunakan untuk menentukan pemenang.

Vietnam akhirnya mara setelah sepakan Baha Seif terkena palang, dan Dang berjaya menyelamatkan sepakan oleh Ahmed Saleh, untuk Vietnam mara dengan kemenangan 4-2 melalui penentuan sepakan penalti.

Video oleh: GOAL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN