Piala Asia 2019: Qatar Kejutkan Jepun Untuk Meraih Kejuaraan Pertama

Ramai manakah yang sedar bahawa Qatar sudah mengejutkan dunia? Hos Piala Dunia 2022 ini telah membuktikan mereka mempunyai skuad yang boleh digeruni.

Ini terbukti mereka menewaskan Jepun melalui skor 3-1 dalam perlawanan akhir Piala Asia edisi 2019 di Abu Dhabi malam tadi.

2 gol awal

Para pemain Qatar meraikan gol awal dijaringkan mereka dalam final Piala Asia 2019.

Qatar mendahului permainan seawal minit ke-12 melalui gol Almoez Ali. Tidak lama kemudian, Abdul Aziz Hatem menambah gol untuk Qatar.

Gol Abdul Aziz dijaringkan pada minit ke-27. Jepun mengasak pertahanan Qatar namun berjaya dipatahkan oleh mereka.

Jaringan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Kejar

Jepun berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-69 hasil jaringan Takumi Minamino.

Namun, hasrat Jepun cuba menewaskan Qatar gagal. Derita Jepun bertambah apabila pengadil memberikan penalti kepada Qatar pada minit ke-83.

Penalti itu berpunca apabila bola terkena kapten Jepun, Maya Yoshida di dalam kotak penalti. Pengadil perlawanan, Ravshan Irmatov merujuk VAR terlebih dahulu.

Hasilnya, Qatar dihadiahkan sepakan penalti dan Maya Yoshida dilayangkan kad kuning. Akram Afif memanfaatkan sepakan tersebut lantas menjaringkan gol ketiga buat Qatar.

Akram Afif dilayangkan kad kuning dek membuka baju selepas meraikan gol tersebut. Qatar mendahului skor 3-1 sehingga tamat masa perlawanan.

Anugerah

Almoez dihadiahkan wang tunai sebanyak 30 ribu Dolar Amerika Syarikat kerana memenangi Anugerah Most Valuable Player. Sumber: AFC.

Kejayaan berganda buat Qatar dalam kejohanan ini apabila salah seorang pemain mereka, Almoez Ali dianugerahkan Most Valuable Player. Almoez menjaringkan 9 gol bagi membantu kempen Qatar memenangi Piala Asia 2019.

Rakan sepasukannya, Saad Al Sheeb pula dianugerahkan pula Penjaga Gol Terbaik Kejohanan. Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak 10 ribu Dolar Amerika Syarikat.

Gelaran Pemain Terbaik Perlawanan menjadi milik Akram Afif daripada Qatar.

Jepun selaku naib johan juga boleh berbangga kerana mereka menggondol Fairplay Award.

Komen jurulatih

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu mengakui kecewa kerana gagal membawa pulang trofi Piala Asia ke Jepun sekaligus mengecewakan rakyatnya. Beliau berpendapat pertahanan Qatar amatlah kukuh.

Semasa ditemubual oleh AFC, beliau juga menyatakan bahawa Qatar sedang membina skuad terbaik bagi menghadapi Piala Dunia 2022.

Felix Sanchez, ketua jurulatih Qatar. Sumber: AFC.

Sementara itu, Felix Sanchez yang merupakan jurulatih Qatar menyuarakan kegembiraan kerana skuad bimbingannya itu berjaya mencipta sejarah bola sepak Qatar.

Kejayaan itu merupakan antara langkah penting bagi membangunkan skuad Qatar demi Piala Dunia akan datang.

Penutup

Sekiranya FIFA merancang untuk meneruskan Piala Konfederasi, Qatar dijangka akan mewakili slot Asia. Timbul laporan bahawa Qatar tidak akan menganjurkan Piala Konfederasi dan negara lain bakal dipilih untuk hos kejohanan tersebut.

AFC juga masih belum mengumumkan negara yang diberi mandat sebagai hos Piala Asia akan datang. Difahamkan hak penganjuran kejohanan 2023 kini direbut sama ada Korea Selatan atau China.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN