Pengendali Indonesia bawah 23 (B-23) Shin Tae-yong menjadi tumpuan utama ketika ini dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar selepas kejayaan beliau membawa pasukan tersebut melangkah ke pusingan separuh akhir.
Terdahulu Indonesia berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir selepas kejayaan mereka menewaskan Korea Selatan B-23 di pentas separuh akhir kejohanan tersebut di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Qatar.
Pada aksi tersebut, Sang Garuda berhasil meraih slot ke separuh akhir apabila mereka mencatat kemenangan pada penentuan penalti menerusi keputusan 11-10 selepas masing-masing terikat 2-2 pada aksi sebenar.
Dua gol Indonesia diperoleh menerusi sumbangan pemain muda warisan mereka iaitu Rafael Struick, sementara Korea Selatan memperoleh jaringan hasil ledakan sendiri Komang Teguh serta Jeong Sang-bin.
Sepanjang aksi berlangsung, Indonesia jelas tidak mempamerkan sebarang rasa gugup untuk berhadapan lawan dengan mereka lebih banyak menguasai permainan berbanding pasukan gergasi Asia tersebut.
Menerusi statistik, penguasaan juga jelas menjadi milik skuad kendalian Shin Tae-yong apabila Sang Garuda menguasai sebanyak 53 peratus dan lawan 47 peratus sahaja.
Apa lebih menarik, barisan serangan Sang Garuda juga tampak berbisa menerusi lima percubaan berbahaya berjaya dilakukan mereka jika dibandingkan Korea Selatan.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Indonesia kini sudah pun selangkah untuk ke pentas saingan Olimpik di Paris pada pertengahan tahun nanti.
Menerusi kemenangan tersebut, Shin yang juga merupakan anak jati Korea Selatan berharap agar tiada penyokong negara tersebut benci kepadanya kerana kejayaan Indonesia mengatasi mereka.
“Sudah tentu saya sangat bangga bahagia apabila Indonesia mencipta kemenangan pada perlawanan suku akhir ini.
“Saya akan menjadi lebih gembira sekiranya Indonesia mampu mara ke pusingan akhir serta meraih trofi kejuaraan Piala Asia B-23 edisi kali ini, kerana ia adalah pertama kali saya mampu membawa pasukan mara sejauh itu.
“Tapi pada masa sama, saya akui terdetik rasa kecewa dan luluh hati. Saya ingin memohon kemaafan buat warga Korea Selatan.
“Saya tak boleh buat apa-apa kerana ini adalah pertandingan. Saya rasa kami sudah pun menyakiti hati warga Korea Selatan kerana pemain saya semuanya tampil dengan usaha keras untuk mencipta kemenangan,” ujar Shin menerusi Bola.com.
Untuk rekod, Shin sebenarnya pernah mengendalikan skuad B-23 Korea Selatan pada tahun 2016 yang juga sebelum itu pernah berlangsung di Qatar.
Pada masa itu, Shin memastikan Korea Selatan memenuhi jangkaan ramai untuk mara ke final sebelum mereka mencipta kekalahan kepada Jepun B-23 menerusi keputusan 2-3.