Penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin mengakui beliau masih enggan mengalah bersama Malaysia bawah 23 (B-23) kini dalam saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar.
Luqman menjadi antara sandaran penting yang dibawa Juan Torres Garrido sebelum itu untuk memperkasakan aspek serangan Malaysia dalam kejohanan Piala Asia B-23.
Walaupun begitu, sumbangan Luqman dipertikaikan segelintir penyokong tempatan menerusi media sosial, apabila beliau masih gagal untuk mendapatkan sebarang jaringan atau memberi impak besar buat posisi hadapan Malaysia di Qatar.
Sepanjang dua perlawanan dilalui Malaysia B-23, Luqman telah pun diletakkan selaku kesebelasan utama ketika mereka menentang Uzbekistan serta Vietnam, tetapi tiada sebarang kesan positif berjaya ditinggalkan pemain itu.
Ramai penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan meletakkan harapan besar buat pemain ini untuk mengulangi kembali kejayaan yang pernah dicipta Luqman pada awal pembabitan beliau bersama skuad kebangsaan suatu ketika.
Malah, Luqman juga menjadi satu-satunya kini pemain muda yang masih berkelana di luar negara bersama YSCC Yokohama dalam saingan J3 League di Jepun.
Namun, sumbangan diberikan oleh bintang muda itu jelas tidak seperti diharapkan dengan ramai mempertikaikan kualiti Luqman serupa sahaja seperti pemain tempatan lain beraksi dalam saingan domestik.
Walaupun begitu, semangat pemain muda tersebut jelas masih belum luntur untuk terus menaikkan maruah bola sepak Malaysia di pentas Piala Asia B-23.
“Demi maruah Malaysia kita akan menang lawan Kuwait, InsyaAllah. Kita masih belum habis lagi. Sekurangnya kita akan beri satu kemenangan,” kata Luqman menerusi perkongsian dibuat oleh Fadhirul Shuhaimi di media sosial X.
Selepas mencatat dua kekalahan lalu, kini Malaysia secara rasminya tidak lagi layak ke pusingan suku akhir bagi saingan Piala Asia B-23 walaupun memiliki hasrat sebelum itu untuk mendapatkan slot ke pentas Olimpik.
Hadir dengan permainan serba tidak menyakinkan, sehingga kini Harimau Malaya juga langsung tidak memperoleh sebarang mata atau gol sehingga mendapat kecaman negatif daripada pelbagai media di media sosial.
Hanya aksi terakhir ini menjadi penentu buat Malaysia untuk sekurangnya meredakan sedikit kritikan tersebut jika mereka mampu memperoleh kemenangan serta menampilkan aksi terbaik.
Pastinya Luqman dan rakan sepasukan lain memiliki impian cukup besar kini untuk terus menyelamatkan maruah bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.