Malaysia bawah 23 (B-23) bakal mengharungi aksi seterusnya dalam saingan Piala Asia B-23 peringkat Kumpulan D, dengan pertemuan seterusnya membabitkan mereka menentang Vietnam dalam misi mendapatkan kembali mata.
Terdahulu, skuad kebangsaan mencatat kekalahan 0-2 di tangan Uzbekistan selepas mereka tampil dengan aksi cukup mengecewakan di atas padang sepanjang perlawanan berlangsung.
Hadir dengan persiapan awal bersama beberapa aksi persahabatan, jelas ianya masih belum cukup buat Harimau Malaya B-23 untuk tampil dengan kualiti permainan bertenaga menghadapi lawan.
Pastinya kebangkitan ingin dicatat kembali oleh Juan Torres Garrido yang sebelum itu juga akui kurang berpuas hati dengan apa telah ditampilkan oleh para pemainnya di atas padang.
Malah, skuad kebangsaan tiada pilihan lain lagi untuk tidak keciciran sebarang mata jika mereka ingin mara ke pusingan seterusnya serta cuba meraih slot ke pentas Olimpik.
Berikut merupakan apa perlu dibuat pasukan kebangsaan B-23 ketika berdepan Vietnam jika tidak rela menjadi mangsa belasahan kali kedua.
Perkemas asas bola sepak
Ini merupakan keutamaan perlu diberi tumpuan dalam kalangan pemain kerana mereka kerap membuat kesilapan sedemikian daripada segi kawalan bola serta ketepatan hantaran di atas padang.
Tidak pasti jika faktor gugup menjadi punca asas bola sepak hampir setiap pemain dilihat gagal, namun ianya perlu diatasi segera atau ia bakal menggugat corak permainan mereka.
Malah, kedudukan setiap pemain untuk menerima hantaran rakan sepasukan serta persefahaman sesama mereka juga antara perlu diperkemaskan dengan lebih baik.
Benteng pertahanan perlu lebih berdisiplin
Secara keseluruhan, benteng pertahanan pasukan kebangsaan pada aksi bertemu Uzbekistan lalu tampil dengan sangat goyah dan mudah dieksploitasi serangan lawan.
Untuk aksi bertemu Vietnam, barisan pemain Harimau Malaya B-23 perlu berwaspda kerana barisan serangan mereka boleh dianggap sangat pantas dan memiliki kualiti kawalan bola individu cukup tinggi.
Malah, mereka juga tidak boleh membuka ruang dengan terlalu banyak serta perlu cepat melepaskan bola kepada pemain tengah atau serangan ketika diberi tekanan lawan.
Kreatif di posisi serangan
Malaysia B-23 sebenarnya mempunyai beberapa peluang menarik untuk cuba mendapatkan jaringan pada aksi lalu, cuma ia dibataskan oleh sudut kreativiti setiap pemain.
Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim Shamsudin, serta Alif Izwan perlu memainkan peranan dengan lebih penting jika mereka dikekalkan untuk perlawanan akan datang.
Tidak hanya berpaksikan kepada gerakan individu, para pemain serangan perlu mencapai persefahaman lebih tinggi untuk mencipta peluang gol dengan lebih kreatif mengatasi pertahanan lawan.