Malaysia jelas perlu membuat kebangkitan segera untuk aksi kedua Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan E dengan pertemuan seterusnya menentang Bahrain.
Apa tidaknya, Malaysia telah pun mencatat kekalahan besar tidak dijangka pada aksi sulung lalu ketika mereka ditewaskan oleh Jordan menerusi keputusan penuh 0-4.
Pada perlawanan tersebut, banyak kelemahan telah dipamerkan oleh skuad kebangsaan di segenap posisi sehingga menimbulkan komen tidak enak dalam kalangan peminat di media sosial.
Secara keseluruhannya, Malaysia masih lagi memiliki peluang untuk cuba mendapatkan mata pada aksi bertemu Bahrain, namun beberapa rombakan wajar dibuat termasuk senarai pemain dalam kesebelasan utama.
Perkara itu diakui sendiri oleh Paulo Josue yang mahu rakan sepasukan lain kini memberi fokus dan melupakan perlawanan lalu untuk aksi seterusnya dalam Kumpulan E bertemu Bahrain.
Dengan penuh optimis, pemain naturalisasi itu menyifatkan Malaysia masih mampu untuk mara ke pusingan jika mereka mencipta kemenangan pada aksi kedua tersebut.
“Barisan kejurulatihan akan membuat analisis video mengenai perlawanan (dengan Jordan) untuk cuba memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya.
“Oleh itu, kesemua pemain perlu fokus untuk perlawanan kedua kerana kami masih mempunyai peluang,” kata Josue menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Josue turut mengakui kekuatan dimiliki oleh Bahrain dan menyifatkan pasukan lawan menampilkan corak permainan sangat agresif.
“Kami menyaksikan perlawanan Bahrain di mana mereka berjaya mencipta masalah buat pasukan Korea.
“Jadi kita perlu buat perancangan rapi bagi mengatur strategi ampuh untuk menentang mereka nanti,” katanya akhir sekali mengenai aksi tersebut.
Perlawanan lalu jelas Bahrain hadir dengan persiapan cukup rapi walaupun mereka mencatat kekalahan 1-3 kepada Korea Selatan pada aksi sulung.
Apa tidaknya, Bahrain sebenarnya hampir beberapa kali mencipta kejutan mengatasi gergasi Asia itu bersama kualiti permainan cukup mengujakan sepanjang aksi berlangsung.
Pastinya Kim Pan-gon mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan Harimau Malaya tidak lagi menjadi pasukan belasahan seperti aksi lalu.
Malah, posisi pertahanan perlu diambil kira pengendali tersebut untuk mengelakkan lebih banyak gol dibolosi bagi aksi kedua Piala Asia 2023.