Debaran untuk menunggu keputusan undian Piala Asia 2023 akhirnya sudah pun diketahui dengan Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan, serta Bahrain.
Saingan yang bakal membuka tirai pada 12 Januari ini menyaksikan 24 negara bakal berentap untuk merebut salah satu trofi paling berprestij di dunia dengan kali ini turut membabitkan Malaysia.
Piala Asia 2023: Malaysia Akan Bertemu Korea Selatan Di Kumpulan E!https://t.co/ek2PZ6ukNU
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 11, 2023
Berada dalam Kumpulan E yang turut diwakili oleh salah satu gergasi bola sepak dunia iaitu Korea Selatan, ianya bakal memberi satu cabaran besar buat skuad negara untuk menghadapinya.
Malah, perkara tersebut turut diakui oleh Kim Pan-gon selaku pengendali utama skuad kebangsaan dengan menyifatkan Korea Selatan sangat kuat.
Walaupun begitu, Kim dengan yakin turut menyatakan beliau bersedia untuk membanggakan para penyokong bola sepak di Malaysia pada saingan Piala Asia ini.
“Kumpulan ini boleh dikatakan sangat mencabar. Dua pasukan daripada wilayah yang sama (Jordan dan Bahrain).
“Korea Selatan diakui sebagai salah satu pasukan yang sangat baik, tetapi kami akan cuba segalanya yang baik untuk memberi kebanggan buat rakyat Malaysia,” jelas Kim menerusi Youtube Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Selain Kim, rata-rata para penyokong Harimau Malaya di media sosial turut melaungkan keyakinan tersendiri dengan menjangkakan Malaysia mampu untuk melepas peringkat kumpulan sekurangnya.
“Dapat lepas peringkat kumpulan pun dah syukur yer, walaupun negara kita ni mesti kena menang sampai ke final. Cuma harap tak lawan Vietnam dah pastu, bukan apa, takkan nak minta Ryuji Sato jadi ref lagi, jenuh kad merah dpt kat keeper pula,” jelas Khairun Nuha di Facebook rasmi FAM.
“Menang kalah belakang cerita, pengalaman tu penting. Kalau dapat lawan tak mintak banyak, juara kumpulan pun jadi la,”ujar Shahzann Hj Anuar.
“Lepas je peringkat kumpulan, ranking boleh meroket. Tak ada yang mustahil. Jordan dan Bahrain kita yakin boleh kalahkan,” kata Hafiz Zaini dengan yakin.
Selain itu, ada juga yang memberi cadangan supaya Malaysia turut mengadakan aksi persahabatan bersama pasukan lebih kuat sebelum menghadapi Piala Asia sebagai medan menguji kekuatan.
“Cari jalan untuk ‘friendly match’ dengan Australia, Jepun dan Arab Saudi. Takpun dengan pasukan kuat bukan dari Asia seperti Costa Rica, Mesir atau Turki,” cadang Chefnan Al Ayubi.
RASMI: Keputusan penuh undian Piala Asia 2023!
MALAYSIA diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
AYUH HARIMAU MALAYA!#AFCAsianCup2023 pic.twitter.com/KK3gy0eo0e
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 11, 2023
Apapun, tempoh masa masih lagi panjang untuk Kim merencanakan sesuatu dengan memiliki peluang untuk terus menilai barisan pemain terbaik sebelum dipilih dalam skuad kebangsaan.
Malah, FAM sendiri masih mempunyai masa untuk mencari mana-mana pasukan lebih kuat sebagai medan persediaan Kim menguji kekuatan semasa skuad kebangsaan.