Malaysia terpaksa menerima hakikat untuk bermula dengan langkah kiri dalam saingan Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan E, selepas mereka ‘dibelasah’ oleh Jordan menerusi keputusan penuh 4-0.
Empat gol berjaya dihasilkan Jordan pada perlawanan tersebut menerusi dua ledakan masing-masing daripada Mahmoud Al-Mardi serta Mousa At Tamari untuk mengetepikan Malaysia.
Tampil dengan mometum cemerlang sebelum itu dalam beberapa perlawanan, Malaysia sebenarnya diharapkan mampu untuk memberi cabaran lebih besar pada saingan Piala Asia kali ini berbanding penyertaan mereka pada dua edisi lalu.
Walaupun tampil dengan skuad yang dianggap serba lengkap, secara keseluruhannya Malaysia masih lagi gagal untuk memberi persaingan sengit pada aksi sulung tersebut.
Berikut merupakan beberapa sebab mengapa Malaysia dianggap gagal pada aksi sulung di Qatar ketika berdepan cabaran Jordan menerusi kekalahan besar tidak sepatutnya.
Pertahanan terlalu longlai
Aksi pertahanan negara jelas menjadi punca utama mengapa Malaysia begitu teruk seolah tidak membuat persediaan rapi untuk menghadapi cabaran Jordan.
Dengan meletakkan tiga pertahanan utama dalam kesebelasan utama, ianya bukan suatu tindakan bijak apabila lawan berjaya mengeksploitasi kelemahan itu untuk mendapatkan jaringan.
Malah, kesilapan pemain secara individu juga menjadi faktor kenapa setiap siri serangan dilancarkan lawan begitu mudah untuk mengatasi barisan pertahanan negara.
Pemain seperti Matthew Davies serta Junior Eldstal secara keseluruhannya tampil dengan aksi tidak memuaskan apabila banyak kesilapan dilakukan mereka memberi ruang buat lawan mendapatkan jaringan atau percubaan.
Penguasaan di posisi tengah lemah
Pasukan lawan boleh dikatakan berjaya menjana siri serangan mereka untuk mendapatkan gol menerusi ruang tengah yang dikuasai mereka sepenuhnya sepanjang saingan berlangsung.
Gandingan membabitkan Afiq Fazail bersama Stuart Wilkin seolah tidak mencapai persefahaman baik serta gagal untuk membantu ruang pertahanan serta serangan dengan lebih seimbang.
Malah, separuh masa pertama menyaksikan kedua pemain ini seolah-olah tidak mengetahui tugas mereka dengan kesilapan individu juga menjadi punca kenapa Afiq serta Wilkin gagal berfungsi sepenuhnya.
Kreativiti serangan begitu terbatas
Malaysia sebenarnya telah pun merangkai beberapa gerakan untuk mencipta siri serangan balas pantas bagi mendapatkan jaringan sulung mereka di Qatar.
Namun, segala gerakan cuba dicipta barisan serangan negara jelas begitu mudah dijangka serta tiada kepelbagaian lebih baik dipamerkan para pemain Malaysia untuk mengatasi pertahanan lawan.
Pemain serangan negara iaitu Romel Morales, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, dan Darren Lok secara keseluruhannya tidak begitu memberi impak jika dibandingkan barisan simpanan lain seperti Mohamadou Sumareh serta Safawi Rasid lebih menonjol.