Malaysia bakal mengharungi aksi kedua Piala Asia 2023 bagi peringkat Kumpulan E, dengan pertemuan seterusnya Harimau Malaya bakal berdepan cabaran Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, Qatar.
Terdahulu, skuad kebangsaan gagal untuk memperoleh sebarang mata pada aksi sulung mereka berdepan cabaran Jordan dengan Malaysia tewas kepada lawan menerusi keputusan penuh 0-4.
Tampil dengan aksi kurang menyakinkan sejak awal perlawanan berlangsung, jelas skuad kendalian Kim Pan-gon gagal untuk menyesuaikan diri dengan permainan terutama sekali di separuh masa pertama.
Untuk aksi seterusnya, sudah tentu pengendali dari Korea Selatan itu bakal membuat beberapa perubahan untuk memastikan Harimau Malaya memungut mata sulung mereka pada kejohanan itu.
Malah, beberapa rombakan juga dijangka bakal dibuat pasukan tersebut terutama sekali membabitkan percaturan taktikal serta formasi berbanding aksi lalu.
Bagi perlawanan ini, tiga pemain Malaysia dijangka akan menjadi tumpuan utama untuk membantu Harimau Malaya kembali berada di landasan sebenar serta mengumpul mata sulung di Qatar.
Stuart Wilkin
Pemain tengah menyerang kebangsaan ini menjadi antara pemain paling cemerlang ketika aksi berdepan Jordan, walaupun mereka tewas dengan jumlah jaringan besar.
Tatkala posisi serangan negara dianggap buntu untuk cuba mendapatkan sesuatu positif, tampil Wilkin begitu aktif di bahagian tersebut selain pemain itu turut mencipta satu percubaan berbahaya ke arah gawang Jordan.
Malah, beliau juga memiliki ketenangan cukup tinggi untuk mengawal bola, selain beberapa hantaran dilakukan beliau tepat kepada rakan serangan lain.
Walaupun tewas pada aksi lalu, motivasi Wilkin juga dianggap sangat meningkat selepas beberapa pujian positif turut dihamburkan kepada pemain berkenaan.
Dion Cools
Pertahanan utama Malaysia ini dijangka akan terus menjadi percaturan utama Kim untuk berada dalam kesebelasan utama atas pelbagai faktor.
Cools menjadi pertahanan negara paling aktif pada aksi lalu untuk menyerap setiap tekanan cuba dilakukan pasukan lawan sepanjang aksi berlangsung.
Apa yang menjadi persoalan kini, adakah beliau akan terus bergandingan bersama Junior Eldstal atau bakal berpasangan bersama pemain lain seperti Shahrul Saad yang lebih menyakinkan.
Arif Aiman Hanapi
Arif sebenarnya berjaya memberi sedikit impak untuk posisi serangan pada aksi lalu walaupun dilihat tidak begitu selesa ketika perlawanan lalu menentang Jordan.
Selain lincah mengawal bola, Arif juga memiliki kecerdasan cukup tinggi untuk membuat hantaran-hantaran berkualiti di hadapan selain memiliki naluri penyudah cukup tinggi.
Berkemungkinan besar, Arif sekali lagi akan diletakkan dalam kesebelasan utama serta beraksi kembali selaku pemain sayap kanan Malaysia untuk memberi tekanan tinggi buat pertahanan lawan.