Era baru. Itulah yang boleh kita nyatakan mengenai kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara, Piala AFF Suzuki 2018.
Selain daripada memperkenalkan format baharu, dengan setiap pasukan bertanding bakal menjadi tuan rumah untuk dua perlawanan peringkat kumpulan, kejohanan edisi ke-12 kali ini turut memperkenalkan logo baharu kejohanan.
Menurut Presiden Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF), D.Y.A.M Sultan Haji Ahmad Shah, perubahan tersebut adalah penting untuk memberikan nafas baharu kepada kejohanan ini, sekaligus memastikan ianya kekal relevan di rantau ini.
“Setelah meraikan ulangtahun ke-20 Piala AFF pada 2016, maka sudah tiba masanya untuk mengubah logo pertandingan untuk memastikan pertandingan ini sebagai satu jenama yang berevolusi dari segi mentaliti, budaya, dan memenuhi setiap keperluan di era digital ini.”
“Ia adalah masa paling tepat untuk dilancarkan, iaitu bersama dengan format baharu kejohanan pada 2018. Bersama-sama perubahan ini, ia diharap mampu mengekalkan status pertandingan Piala AFF Suzuki sebagai kejohanan bola sepak utama di rantau ini,” ujar baginda dalam ucapan memperkenalkan logo tersebut.
Rakan komersil AFF, Lagardere Sports telah dilantik untuk memproses dan memcipta logo tersebut. Ia melibatkan kajian dan soal selidik yang dilakukan di kalangan penyokong dan pemegang taruh telah dijalankan.
Hasil kajian berkenaan, lima elemen utama diletakkan di dalam logo tersebut iaitu: hati yang berdegup, tiang gol, dan penyokong yang bergandingan tangan yang membawa maksud kebangaan, ketaatan, bola sepak, perseteruan dan juga kesungguhan yang diolah sekali membentuk logo yang skematik.
Empat warna juga dipilih menghiasai logo tersebut dengan magenta (mewakili kesungguhan dan tenaga), cyan (permulaan yang baharu), hijau (warna padang bola sepak) dan biru (mewakili topography dan wilayah).
Piala AFF Suzuki akan berlangsung dari 8 November sehingga 15 Disember hadapan merentasi 10 buah negara Asia Tenggara.
Pada edisi 2016, kejohanan ini menjadi siaran yang paling tinggi mendapat jumlah tontonan di negara seperti Indonesia dan Thailand yang mencatat jumlah penonton 75 juta di kedua-dua buah negara.
Jumlah tersebut jauh meninggalkan jumlah rating yang diperolehi kejohanan dunia yang lain seperti UEFA Euro 2016.