Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membayangkan kemungkinan akan melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama apabila dua tonggak iaitu Mohamadou Sumareh dan Syazwan disahkan mengalami kecederaan hamstring.
Bagaimanapun, status dua pemain itu akan ditentukan oleh doktor perubatan sama ada mereka boleh diturunkan atau tidak pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Thailand pada hari rabu ini.
Bercakap kepada Berita Harian, Cheng Hoe sedia menyenaraikan penyerang muda Kedah, Akhyar Rashid dan tonggak pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim jika dua pemain itu tidak sempat pulih.
“Untuk perkembangan pemain saya rasa semua nampak ‘OK’, cuma Sumareh dan Syazwan masih lagi mengalami kecederaan.
“Saya harap dalam dua hari ini pemain akan dapat pulih 100 peratus dan saya akan dapatkan pengesahan daripada Doktor perubatan pasukan tentang tahap kecederaan mereka sebelum membuat apa-apa perubahan.
“Tapi yang penting walau siapa pun diturunkan semua pemain kena bersedia dan saya percaya mereka boleh menggalas tugas untuk menggantikan mana-mana yang cedera,” katanya.
Akhyar Rashid mampu menggantikan tempat Sumareh
Malah, Cheng Hoe yakin dengan kemampuan Akhyar Rashid untuk mengucar-kacirkan benteng pertahanan Thailand yang dilihat sangat berdisiplin ketika beraksi di Stadium Bukit Jalil.
“Kita tahu Akhyar mempunyai satu potensi yang besar dan boleh memberi sesuatu dan mengancam pertahanan Thailand. Tapi yang penting, saya mahu semua pemain bersedia apabila diperlukan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya terikat tanpa jaringan di separuh akhir pertama Sabtu lepas di hadapan 87,000 penyokong. Separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala akan menjadi penentu slot ke perlawanan akhir.
Satu lagi aksi separuh akhir melibatkan bekas juara 2008, Vietnam semakin hampir ke pentas final selepas berjaya melakar kemenangan 2-1 di tempat lawan dengan menundukkan Filipina semalam.
Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki dijadualkan berlangsung secara timbal balik dengan final pertama pada 11 Disember dan aksi kedua empat hari kemudian.