Tidak ramai yang berani mempertaruhkan Malaysia akan mara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 – apatah lagi selepas ditakdirkan bertemu Thailand di separuh akhir.
Namun pada malam ini, skuad Harimau Malaya berpeluang mencipta sejarah untuk membawa pulang status selaku jaguh Asia Tenggara – buat kali kedua di dalam sejarah kejohanan.
Akan berikan yang terbaik
Pemain pertahanan tengah negara, Shahrul Saad berkata beliau dan rakan sepasukan yang lain akan memberikan setiap kudrat yang mereka miliki untuk memastikan kejuaraan tersebut.
“Dari permulaan kejohanan pun kita boleh tahu di atas kertas Vietnam dan Thailand adalah pasukan pilihan untuk kejuaraan AFF Suzuki ini. Tetapi kita bukan melakukannya berdasarkan apa yang tercatit di atas kertas.
“Kmi sedar ianya tidak mudah dan Vietnam akan bersama-sama ribuan penyokong mereka dalam aksi di Hanoi. Tetapi saya dan rakan-rakan berharap mampu memberikan 120% kemampuan kami pada malam ini.”
Laluan sukar
Setelah berjaya bangkit menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dua gol dalam aksi pertama di Kuala Lumpur, Shahrul berkata tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk perlawanan pada malam ini.
“Saya tidak fikir kami perlu melakukan perubahan ketara. Tetapi sebaliknya perlu memberi fokus kepada perlawanan, dan setiap pemain sanggup berkorban apa sahaja.
“Kami perlu bekerja sebagai sebuah unit. Apa yang telah berlaku sudah berlalu. Sekarang kami perlu bekerja lebih dari 100% untuk membawa trofi kejuaraan itu balik [ke Kuala Lumpur].”
Keakraban di dalam pasukan
Setelah bersama selama hampir dua bulan, pemain pertahanan berusia 25 tahun itu berkata keakraban di kalangan pemain adalah kekuatan utama skuad negara pada kejohanan ini.
“Di awal kejohanan kami meletakkan sasaran untuk beraksi lapan perlawanan sepanjang kejohanan, dan ia menjadi realiti. Mari kita harapkan yang terbaik untuk perlawanan terakhir nanti agar kita boleh meraikan bersama dan pulang ke Malaysia dengan gembira.
“Saya percayakan kemampuan rakan sepasukan, staff dan negara ini. Kami bukan datang ke sini sekadar untuk bermain bola sepak, tetapi juga sebagai sebuah keluarga besar.
Terharu dengan sokongan
Shahrul Saad turut berkata beliau dan pemain-pemain yang lain kagum akan sokongan dan pengorbanan yang diberikan oleh penyokong kepada mereka.
“Anda boleh melihat bagaimana kami beraksi di Malaysia, dan bagaimana penyokong sanggup datang meredah hujan untuk ke stadium. Malah mereka yang tidak bertiket tetap meyakinkan diri untuk datang. Ini semua memberi makna yang sangat besar buat pemain.”
“Saya mengharapkan mampu memberi kejayaan juga buat mereka kerana kini kami berada di sini sebagai sebuah keluarga. Saya mengharapkan kami mampu menamatkan saingan [AFF Suzuki 2018] dengan kenangan terindah.”