Skuad Harimau Malaya dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini dengan status para pemain bebas daripada kecederaan serta tampil dengan motivasi sangat tinggi untuk aksi pertama Piala AFF 2022.
Lawan pertama mereka untuk aksi pembukaan kali ini ialah Myanmar dan bakal berlangsung di Stadium Thuwunna, Myanmar pada malam ini dalam misi untuk meraih kemenangan pertama.
Sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Stadium Thuwunna, Yangon turut disaksikan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Malaysia akan memulakan kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Myanmar, esok.#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/nfOeUx9qzo
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 20, 2022
Menurut pengendali Myanmar iaitu Antoine Hey, beliau mengakui Malaysia bukan satu lawan yang mudah untuk dihadapi biarpun berkelebihan beraksi di laman sendiri.
Ini kerana, rekod yang dimiliki oleh Myanmar ketika bertemu Malaysia sebelum ini jelas tidak begitu baik dan salah satunya ketika mereka berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada tahun 2018.
Ketika itu, Myanmar menghadapi Malaysia untuk saingan Piala AFF 2018 peringkat kumpulan, dan mereka tewas di tangan tuan rumah menerusi keputusan penuh 0-3.
Walaupun begitu, pengendali dari Jerman itu menjelaskan situasi bakal berubah untuk aksi malam esok kerana mereka bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong yang dilihat mampu menaikkan motivasi para pemain.
“Kami pernah menentang mereka (Malaysia) sebelum ini beberapa tahun lalu. Kami tahu mereka ada ramai pemain berpengalaman termasuk beberapa tonggak naturalisasi dalam pasukan.
“Mereka juga melalui beberapa aksi persahabatan dan perlawanan di bawah jurulatih baharu (Kim Pan-gon) dan kami sudah bersedia untuk itu.
“Pada pertemuan 2018 lalu, kami tewas 3-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan Piala AFF.
“Pada saya ketika itu ia perlawanan menghiburkan, di mana kami bermain di depan lebih 80,000 penyokong tuan rumah (di Stadium Nasional Bukit Jalil) yang membuatkan pemain kami gugup.
“Tapi kali ini senario itu akan berubah dan kami harap dapat ubah keputusan itu serta berikan tentangan yang terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan menerusi Harian Metro.
Untuk Malaysia, beraksi di stadium tersebut bukan sesuatu perkara yang akan diambil mudah mereka kerana rekod sebelum ini menunjukkan skuad kebangsaan tidak pernah mencatat kemenangan di sana sejak 2016.
Sidang media praperlawanan menjelang perlawanan pertama Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Myanmar lwn Malaysia telah berlangsung di Yangon, sebentar tadi.
Ia dihadiri ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan kapten, Safawi Rasid. pic.twitter.com/AhuEBPGz9H
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 20, 2022
Namun, segalanya mungkin berubah pada malam esok jika Malaysia mampu kekal dengan prestasi terbaik mereka seperti aksi sebelum ini ketika menentang Kemboja dan Maldives.