Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru sahaja mengumumkan 29 pemain akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat dalam persedian menghadapi pertandingan Piala AFF 2022 hujung tahun ini.
Namun begitu, menjadi persoalan dimanakah pemain utama sebelum ini selepas mereka tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan kali ini?
Mereka adalah tonggak utama Harimau Malaya yang berjaya membawa kejayaan kepada Malaysia ke Piala Asia 2023 dan di pertandingan King’s Cup yang diadakan di Thailand.
Paling ramai pemain tiada sudah pasti dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan hanya Safawi Rashid serta Ramadhan Saifullah sahaja menjadi wakil dari Harimau Selatan.
Dua pemain ini pun bukan pemain utama kelab dan kurang mendapat minit permainan.
Mungkin di kejohanan ini adalah medan sesuai untuk mereka kembalikan prestasi terbaik yang pernah dikecapi sebelum ini.
Antara alasan diberikan oleh FAM, pemain yang tidak dapat menyertai kem latihan kali ini adalah atas faktor urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.
Adakah ini benar atau sebenarnya ada alasan tersendiri kenapa mereka tidak bersama rakan yang lain di kem latihan?
Semua sedia maklum, jadual JDT agak padat tahun ini dan banyak perlawanan mereka perlu harungi menyebabkan masa berehat bersama keluarga sedikit terganggu.
Mungkin atas faktor ini pemain dari Harimau Selatan memilih untuk tidak bersama Harimau Malaya untuk membantu menebus kehampaan edisi lepas.
Sudah pasti, ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon perlu merencanakan strategi baharu bersesuaian dengan pemain yang dipanggil.
Pengendali dari Korea Selatan ini telah membuktikan beliau mampu menerapkan gaya permainan berintensiti tinggi.
Apakah dengan pemain baharu ini beliau mampu mengekalkan gaya pemainan sama atau akan ada corak permainan yang berbeza?
Melihat dari sudut positif, Kim pasti mempunyai pilihan lebih banyak untuk menilai kemampuan pemain terutama mereka yang pertama kali dipanggil bersama dibawah kendaliannya.
Apatah lagi Malaysia mempunyai kejohanan besar iaitu pusingan akhir Piala Asia 2023 diadakan di Qatar awal tahun 2024.
Jika mereka mempamerkan aksi cemerlang, sudah pasti pemain ini berpeluang untuk dipanggil lagi oleh Pan-gon.
Malaysia diundi berada di kumpulan B dan akan membuka tirai pada 21 Disember ini menentang Myanmar.
Pada edisi sebelum ini, Malaysia tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan menyebabkan pasukan yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe ketika itu teruk menerima kritikan sehingga beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya.