Piala AFF B16: PSSI Bakal Taja Keluarga Pemain Untuk Beri Sokongan Dalam Aksi Final

Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan telah pun mengeluarkan kenyataan dengan berjanji akan membawa seluruh ahli keluarga setiap pemain Indonesia bawah 16 (B-16), pada aksi final Piala AFF B-16 pada malam esok.

Skuad Indonesia bakal membuat perhitungan bersama Vietnam pada aksi final ini di Stadium Maguwoharjo,Sleman untuk merebut kejuaraan pada edisi kali ini.

Indonesia layak ke pusingan akhir Piala AFF B-16 setelah mereka menewaskan Myanmar sebelum itu menerusi sepakan penalti 5-4, setelah sebelum itu mereka terikat seri 1-1.

Pada masa sama, Vietnam juga berjaya melangkah ke final setelah pasukan tersebut menewaskan lawan tradisi, Thailand dengan keputusan 2-0.

Untuk memberi semangat yang terbaik buat para pemain muda Indonesia pada aksi final ini malam esok, Iriawan menyatakan beliau bakal menyediakan segala kemudahan untuk keluarga mereka menjelang hari perlawanan.

“Saya sudah pun memaklumkan perkara baik itu kepada para pemain sewaktu mesyuarat teknikal sebelum ini.

“Kami sudah pun menjemput ibu bapa para pemain ke Yogyakarta dan bakal menyediakan segala kemudahan penginapan termasuk pengangkutan,” jelas Iriawan di Stadium Maguwoharjo, Sleman, semalam.

Selain itu, dikhabarkan Vietnam telah mendapat bonus sebanyak RM573 untuk setiap pemain kerana melayakkan diri ke pusingan akhir Piala AFF.

Jumlah tersebut sama seperti mereka berikan sebelum itu kepada para pemain ketika mereka melayakkan diri ke peringkat separuh akhir untuk menaikkan motivasi pasukan.

Untuk Indonesia pula, PSSI sebelum itu telah pun memberi bonus kepada para pemain ketika berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, dengan setiap pemain mendapat wang sebanyak RM301.

Kelebihan untuk aksi final malam esok dilihat terletak kepada Indonesia kerana salah satu faktor mereka bakal mendapat sokongan padu para penyokong di laman sendiri.

Selain itu, dikhabarkan dua pemain tonggak Vietnam tidak dapat diturunkan untuk terus memberi kelebihan buat Indonesia mencatat sesuatu positif pada malam esok.

Dua pemain tersebut ialah penjaga gol utama Vietnam iaitu Pham Dinh Hai yang terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan agak serius pada aksi separuh akhir lalu menurut Bola.com.

Seorang lagi pemain mereka, Hoang Cong Hau tidak dapat beraksi kerana telah pun mendapat layangan kad merah ketika bertemu Thailand pada aksi separuh akhir sebelum ini.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply