Piala AFF B-23: Ketajaman Alif Ikmarizal Bantu Malaysia Ke Pusingan Separuh Akhir

Penyerang muda negara, Alif Ikmarizal berjaya membuktikan ketajaman beliau walau pertama kali dibawa turun bersama skuad bawah 23 (B-23) Malaysia selepas berjaya menghasilkan dua jaringan ketika bertemu Timor Leste.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala AFF B-23 selepas cemerlang merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dengan Timor Leste menjadi mangsa seterusnya hasil keputusan penuh 3-1.

Tampil dengan sedikit rombakan, E. Elavarasan memasukkan beberapa pemain baharu termasuk Alif Ikmarizal dalam kesebelasan utama dalam misi untuk mendapatkan kemenangan seterusnya.

Tiga jaringan Malaysia terhasil menerusi dua gol daripada Alif Ikmarizal serta satu menerusi bintang muda dari Selangor iaitu Aliff Izwan Yuslan.

Timor Leste pula hanya memperoleh satu jaringan sahaja menerusi Olagar Xavier dan menamatkan kempen dalam saingan Piala AFF bagi peringkat Kumpulan B tanpa sebarang kemenangan.

Awal permainan menyaksikan Malaysia terlebih dahulu mendapat peluang menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti setelah ada pemain negara dikasari.

Namun sepakan yang diambil oleh Muhamad Umar Hakeem pada minit kedua sedikit tersasar di sebelah kiri untuk menyelamatkan seketika gawang gol Timor Leste.

Lima minit pertama perlawanan ini jelas segalanya menjadi milik Malaysia dengan penguasaan penuh dipamerkan skuad kendalian E. Elavarasan dalam usaha mereka cuba mendapatkan jaringan awal.

Malaysia akhirnya mendapat jaringan sulung mereka menerusi penyerang berbisa dari Penang iaitu Alif Ikmarizal Anuar yang cemerlang untuk melepaskan satu rembatan padu pada minit kelima, sekali gus menewaskan Georgino da Silva.

Memasuki 10 minit perlawanan, intensiti permainan yang dipamerkan Malaysia sedikit menurun dan memberi ruang pula buat Timor Leste untuk cuba mencipta sesuatu bagi mendapatkan kembali jaringan penyamaan.

Malaysia berjaya menambah gol kedua perlawanan pada minit ke-13 pula, dengan kali ini Aliff Izwan berjaya mencatat nama selaku penjaring buat skuad kebangsaan hasil satu rembatan deras dari dalam petak penalti.

Sesekali Timor Leste tampil dengan ancaman berbahaya, setelah Malaysia lebih banyak  membuka ruang buat pemain lawan khususnya di bahagian tengah untuk mereka mencipta sesuatu tidak diingini.

Akhirnya gawang Malaysia bolos juga pada minit ke-41 selepas beberapa kali pasukan lawan melakukan percubaan di hadapan gol menerusi penyerang mereka iaitu Olagar Xavier.

Di separuh masa kedua, beberapa perubahan dibuat oleh Malaysia dengan turut memasukkan khidmat Najmudin Akmal untuk memperkukuhkan aspek serangan.

Beberapa kesilapan dibuat para pemain muda negara hampir membahayakan keadaan dengan peluang tersebut diambil oleh Timor Leste untuk menjana siri serangan balas pantas.

Alif Ikmarizal terus membuktikan ketajamannya buat skuad negara, selepas pemain tersebut berjaya meledak gol ketiga Malaysia menerusi satu tampanan dibuat oleh penjaga gol lawan sebelum disambar oleh pemain tersebut pada minit ke-65.

Sedikit kontroversi berlaku pada minit ke-78, selepas pengadil perlawanan tidak memberi sepakan penalti buat Timor Leste, walaupun bola terkena di bahagian tangan pemain negara sebelum itu di hadapan gawang gol.

Keputusan perlawanan kekal dengan Malaysia cemerlang merekodkan kemenangan kedua untuk saingan Piala AFF B-23 ini dengan menewaskan Timor Leste 3-1 untuk menjuarai peringkat Kumpulan B serta melangkah ke pusingan separuh akhir.

Kesebelasan utama

Timor Leste: Georgino da Silva (Penjaga gol), Orcelio Nobelito Moises Guterres, Anizo Correia, Fernando Duarte De Carvalho, Luis Figo Pereira Ribeiro, Pascoal A. Ximenes, João Bosco Halle (Kapten), Olagar Xavier, Mario Donasio Quintao, Freteliano De Jesus Dos, Cristevao Moniz Fernandes

Malaysia: Azim Al Amin (Penjaga gol), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Rakesh Munusamy, Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid, Alif Ikmarizal Anuar, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Nadzwin Mohd Salleh, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Ruventhiran, Mohd Aiman Afif Md Afizul (Kapten), Firdaus Hasnoddin

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN