Malaysia mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Laos untuk memperoleh dua kemenangan berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022.
Selepas menang 1-0 ke atas Myanmar, skuad Kim Pan-gon turun di Bukit Jalil untuk memastikan laluan ke separuh akhir cerah.
Namun ianya tidak semudah yang disangka kerana di separuh masa pertama, Malaysia mengalami masalah di bahagian penyudah.
Amaran awal pasukan negara ditonjolkan menerusi Faisal Halim apabila gerakan lincah daripada sebelah kiri berjaya melepasi benteng pertahanan Laos namun percubaannya melepasi palang.
Malaysia banyak cuba melakukan serangan dari bahagian tepi menerusi Faisal dan Shamie Iszuan untuk membelah pertahanan Laos.
Minit ke-20 nampak lebih bertenaga untuk Malaysia apabila serangan dimulakan dengan rembatan jarak jauh Safawi Rasid namun ianya lemah.
Mukhairi Ajmal turut mempunyai idea yang sama dari jarak 25 meter akan tetapi rembatannya melebihi palang.
Segala usaha akhirnya membuahkan hasil apabila gerakan dari kiri berjaya memberikan hantaran lintang rendah yang cukup bahaya buat Laos.
Sergio Aguero yang berada pada tempat dan masa yang tepat menolak masuk bola ke dalam gol untuk meletakkan Malaysia di depan dengan jaringan 1-0.
Aguero mempunyai peluang untuk menambah jaringan selepas David Rowley memberikan bantuan gol yang sempurna untuk membolehkan penyerang itu berdepan 1v1 dengan penjaga gol Laos.
Akan tetapi, sungkitan yang dilakukan beliau tersasar.
Sebelum rehat separuh masa, Mukhairi mempunya peluang untuk menambah jaringan apabila memperoleh sepakan percuma dari tepi padang.
Percubaannya begitu bahaya dan menepati sasaran tetapi ia berjaya ditepis oleh penjaga gol Laos.
Susulan daripada itu, Malaysia memperoleh sepakan penjuru dengan Sharul Nazeem berjaya menanduk baik bola dengan tandukan tipis tetapi sipi dari tepi gol.
Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia terus memperkemas jentera serangan untuk terus mencari gol.
Gerakan yang hampir sama dengan menggunakan bahagian sayap digunakan Malaysia untuk mencari jaringan tambahan.
Berbeza dengan separuh masa pertama, serangan kali ini lebih kemas dengan hantaran-hantaran lintang yang lebih berbahaya.
Hasilnya apabila minit ke-65, Faisal berjaya menambah jaringan Malaysia dengan tolakan mudah beliau berjaya melepasi kawalan penjaga gol Laos.
Tidak lama kemudian, Faisal sekali lagi menambah derita Laos menerusi tolakan mudah selepas menerima hantaran daripada bahagian kiri.
Menjelang 15 minit terakhir perlawanan, gol Malaysia semakin bertambah apabila pemain gantian, Haqimi Rosli merembat cantik voli untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Jaringan kelima Malaysia tiba pada limit minit terakhir perlawanan apabila Stuart Wilkin merembat kencang bola dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Laos.
Secara keseluruhannya, persembahan lima bintang ditonjolkan Malaysia terutamanya di separuh masa kedua berjaya memberikan tiga mata dan jumlah jaringan yang besar.
Keyakinan ini pastinya dapat membantu Malaysia yang akan bertemu Vietnam di Hanoi minggu hadapan.
Keputusan penuh, Malaysia 5-0 Laos.