Untuk saingan Piala AFF kali ini menyaksikan Vietnam sekali lagi dilihat sebagai calon pilihan untuk merebut kejuaraan tersebut.
Untuk rekod, Vietnam sebuah pasukan yang begitu konsisten dalam kejohanan ini.
Negara lain juga mempunyai peluang namun ada beberapa faktor kenapa pasukan ini diletakan sebagai calon utama.
Barisan pemain terbaik
Vietnam dilihat tiada masalah dan sebarang isu untuk membawa skuad terkuat dalam menghadapi kejohanan terbesar peringkat ASEAN ini biarpun ia bukan dalam kalendar FIFA.
Oleh itu, sudah pasti dengan keserasian sudah tercipta dalam pasukan ini, maka tiada masalah besar untuk jurulatih menerapkan pelbagai taktikal dalam perlawanan yang akan dihadapi.
Pemain utama mereka yang berkelana di Perancis, Nguyen Quang Hai turut serta dan ia satu semangat kesukanan yang tinggi dari pemain ini serta dari pihak pengurusan kelab yang beliau wakili.
Dengan pengalaman bermain di Eropah, ia dapat dimanfaatkan di dalam pasukan kebangsaaan Vietnam.
Momentum pasukan Vietnam
Jika melihat prestasi skuad Pahlawan Bintang Emas ini, untuk mereka melepasi peringkat kumpulan sekurang-kurangnya tiada masalah buat mereka.
Prestasi ketika di kelayakan Qatar 2022 juga agak baik dan mampu memberi saingan kepada lawan mereka biarpun berada di tangga terbawah kumpulan B.
Vietnam berjaya mencatat kemenangan ke atas China, dan mengikat Jepun dengan keputusan 1-1.
Untuk tahun ini, dari sembilan perlawanan, enam kemenangan, dua seri dan hanya satu sahaja kekalahan yang mereka hadapi.
Sebelum menyertai saingan Piala AFF, skuad bimbingan Park Hang-seo melakar kemenangan ke atas Borussia Dortmund dan ini memberi moral tambahan buat kesemua pemain.
Mereka sudah ada momentum terbaik dalam saingan kali ini dan tugas jurulatih juga tidak begitu berat kerana pemain utama mereka ada dalam skuad ini.
Perang psikologi Park Hang-seo
Jurulatih dari Korea Selatan ini cukup sinonim dengan perang psikologi terhadap lawan mereka.
Bukan itu sahaja, beliau ada kalanya akan mengintip latihan tertutup lawan mereka bagi mendapatkan maklumat secara senyap.
Ketika Malaysia menyertai kejohanan King’s Cup 2022 di Thailand, beliau sanggup datang jauh semata-mata ingin melihat Harimau Malaya dan pasukan kebangsaan Thailand bermain.
Sudah pasti beliau ingin melihat taktikal lawan dan ini sebenarnya memberi mesej seperti perang saraf terutamanya kepada pasukan Malaysia.
Namun sentuhan berbisa beliau terhadap pasukan kebangsaan Vietnam tidak dapat dinafikan. Sejak menyertai skuad Vietnam, gaya permainan serta taktikal yang diterapkan semakin baik sehingga menjadi pasukan terkuat di Asia.
Lebih membanggakan, Hang-seo telah berjaya membawa Vietnam berada di ranking ke-96 dunia dan ini pencapaian paling tinggi dilakar oleh negara tersebut.
Bukan itu sahaja, kecemerlangan skuad kebangsaan membolehkan kelab dari Korea Selatan dan Jepun mula merisik pemain dari Vietnam untuk dibawa bermain bersama kelab di negara mereka.
Untuk terakhir kali
Seperti semua sedia maklum, pengendali berusia 65 tahun ini tidak akan sambung kontrak lagi bersama pasukan Vietnam dan ini adalah kejohanan terakhir buat beliau.
Mungkin atas faktor ini, pemain akan memberi sehabis baik di atas padang agar mereka dapat menghadiahkan kejuaraan terakhir kepada jurulatih dari Korea Selatan ini.
Satu fakta menarik, sejak Piala AFF diperkenalkan pada 1996, skuad Vietnam hanya dua kali sahaja terkandas dalam peringkat kumpulan dan selebihnya mereka akan mara sekurangnya ke separuh akhir.
Mampukah sentuhan magis terakhir dari Hang-seo merampas kembali kejuaraan ini daripada Thailand?
Atau Malaysia akan melakukan kejutan dalam edisi kali ini meskipun tiada ‘mesin’ utama?