Piala AFF 2020: Thailand Gah Ranapkan Impian Vietnam Untuk Ke Final

Pasukan Thailand gah melangkah ke final buat kali ke sembilan dalam saingan Piala AFF 2020 bagi merebut kejuaraan keenam dalam kejohanan tersebut dengan Indonesia bakal menjadi lawan mereka.

Terlebih dahulu mereka berjaya menewaskan Vietnam dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional dengan keputusan terikat tanpa jaringan. Namun, Thailand layak ke final apabila mempunyai kelebihan dua gol pada perlawanan separuh akhir pertama mengikut agregat.

Seawal permainan kita disaksikan dengan aksi Vietnam yang terus memulakan aksi menyerang dengan amaran awal melalui percubaan menerusi Nguyen Tien Linh yang melepaskan percubaan deras namun tepat ke dalam dakapan penjaga gol Thailand pada minit ke-3.

Lima minit pertama juga menyaksikan pasukan Thailand dipaksa bertahan dan mereka cuba menenangkan corak permainan lawan yang sangat agresif untuk memburu gol pertama perlawanan di separuh masa pertama.

Sesekali Thailand hadir menyerang menerusi beberapa pergerakan terhasil namun tiada percubaan tepat yang dapat dibuat mereka untuk menguji penjaga gol Vietnam yang tidak begitu teruji setakat 15 minit permainan berlangsung.

Vietnam melancarkan serangan dari pelbagai arah untuk mencari sedikit ruang yang terbuka oleh pertahanan Thailand. Tetapi anak buah Alexandre Polking nyata cemerlang menyerap asakaan lawan dan konsisten mengawal permainan.

Sepanjang 20 minit perlawanan berlangsung, pasukan Thailand cemerlang mengawal tempo permainan pantas yang dilancarkan oleh Vietnam. Pasukan ini tidak terburu-buru untuk bergerak dan hanya menanti kesalahan individu yang dilakukan lawan ketika asyik menyerang.

Minit ke-31 penjaga gol utama Thailand terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan setelah aksi beliau ketika cuba menyelamatkan bola bertembung dengan penyerang Vietnam yang menyaksikan perlawanan dihenti seketika.

Pada minit ke-36, penjaga gol gantian Thailand mempamerkan aksi yang menyakinkan apabila berjaya  menepis bola percubaan daripada Nguyen Quang Hai menerusi sepakan percuma yang diberi luar kotak penalti sebelum kembali menangkap bola tersebut untuk menyelamatkan keadaan.

Ho Tan Tai hampir memberi gol pertama buat Vietnam menerusi tandukan hasil sepakan penjuru, namun percubaan pemain ini sedikit tersasar daripada gawang gol pada minit ke-43.

Quang Hai sekali lagi menjadi perhatian apabila berjaya mendapat peluang keemasan membuat satu percubaan kencang dalam petak penalti. Malangnya bola percubaan pemain serangan ini melambung jauh dari gawang gol untuk terus memberi tekanan dalam kem mereka sendiri yang mahukan gol pertama mereka di masa tambahan.

Sebelum wisel penamat dibunyikan, Thailand berjaya mendapat satu ruang yang baik untuk melepaskan satu percubaan menerusi Theerathon Bunmathan di sebelah kiri, namun percubaan beliau berjaya ditepis keluar penjaga gol Vietnam.

Bersambung di separuh masa kedua, kedua pasukan saling rancak membalas serangan dengan masing-masing cuba menguasai permainan untuk memburu gol pertama perlawanan.

Thailand meningkatkan sedikit intensiti permainan untuk mengimbangi permainan pantas Vietnam. Pasukan ini juga lebih banyak mengasak ke kubu lawan berbanding pada aksi separuh masa pertama yang lebih banyak bertahan.

Sepakan percuma Quang Hai sekali lagi berjaya dikecewakan penjaga gol Thailand apabila rembatan deras pemain serangan Vietnam ini dari sebelah kanan mudah ditepis keluar penjaga gol pada minit ke-58.

Kesilapan pertahanan Thailand pada minit ke-64 yang gagal mengeluarkan bola dengan lebih baik berjaya diambil kesempatan oleh Tienh Lin, namun percubaan terus beliau hanya singgah ke dalam dakapan penjaga gol.

Sehingga 70 minit permainan berlangsung, Vietnam nyata dihambat dengan tekanan apabila gagal menemui gol pertama mereka untuk sekurangnya sebagai tonik semangat buat rakan sepasukan. Thailand pula nyata tenang dan bermain dengan intensiti lebih perlahan untuk menenangkan permainan.

Menuju ke akhir permainan, Vietnam semakin menggandakan siri serangan dengan Thailand dipaksa untuk lebih banyak bertahan daripada mengatur sebarang gerakan. Sesekali sahaja pasukan kendalian Polking berjaya mencipta serangan balas namun turut gagal menemui sebarang hasil.

Keputusan kekal tanpa jaringan sehingga ke wisel penamat dengan Thailand berjaya menidakkan cabaran pasukaan Vietnam di separuh akhir kedua saingan Piala AFF musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN