Piala AFF 2020: Percaturan Polking Ubah Rentak Lemau Thailand Untuk Julang Kejuaraan

Alexandre Mano Polking Thailand juara Piala AFF 2020 percaturan

Percaturan Alexandre Polking berjaya mengubah rentak lemau Thailand untuk kembali dalam permainan seterusnya mengikat Indonesia 2-2 dan dinobatkan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2020 – menang agregat 6-2.

Thailand bermula dengan sedikit perubahan di jentera tengah seperti kemasukkan pemain Leicester City, Thanawat Suengchitthawon di jentera tengah bersama dua pemain senior, Sarach Yooyen dan Bordin Phala.

Untuk Indonesia mereka tampil dengan barisan terbaik dalam aksi kedua ini dengan kemasukkan semula Pratama Arhan di posisi bek sayap kiri selain Ramai Rumakiek yang kembali ke posisi di sebelah kiri mereka.

Sebelum turun beraksi, kem Indonesia dikejutkan dengan penyisihan empat pemain mereka akibat melanggar peraturan gelembung sukan iaitu Elkan Baggott, Rizky Ridho, Victor Igbonefo dan Rizky Dwi Febrianto.

Percaturan Shin Tae-yong untuk mengukuhkan di sebelah kiri menjadi apabila pergerakan di koridor tersebut memberikan gol awal buat Garuda. Minit ke-7, bermula dengan larian pantas Ramai Rumakiek memberikan kepada Witan Sulaeman dan disudahkan dengan rembatan deras jarak jauh pemain tengah, Ricky Kambuaya.

Jaringan itu merupakan kali kedua gawang mereka digegarkan dalam saingan Piala AFF kali ini. Sebelum ini, mereka dibolosi hanya sekali, di peringkat Kumpulan A ketika melakar kemenangan 2-1 ke atas Filipina.

Thailand datang dua kali berselang 10 minit kemudian menerusi dua percubaan yang hampir memberikan mereka gol penyamaan. Rembatan di depan gawang oleh Supachok Sarachart sedikit melepasi palang dan percubaan luar kotak oleh Thanawat pula ditepis cemerlang oleh penjaga gol lawan, Nadeo Argawinata.

Indonesia seakan-akan ‘naik hantu’ apabila tampak lebih cepat untuk mengasak setiap kali pemain Thailand memiliki bola. Aksi permainan mereka juga dilihat lebih baik berbanding final pertama yang menyaksikan mereka ditewaskan secara total oleh Gajah Perang – hingga tiada ruang untuk mengasak ke kubu lawan.

Babak pertama pentas final kedua ini menyaksikan Gajah Perang pula bergelut. Walaupun Garuda dilihat banyak mengasak, namun mereka gagal menyudahkannya dengan percubaan ke gawang Siwarak Tedsungnoen.

Pengendali Thailand, Alexandre Polking membuat tiga pertukaran untuk menambah baik sentuhan penyudah di permulaan babak kedua. Phitiwat Sukjitthammakul menggantikan Thanawat, Weerathep Pomphan untuk Pawee Tanthatemee dan Adisak Kraisorn pula menggantikan Teerasil Dangda yang kurang menjadi di babak pertama.

Percaturan Polking menjadi apabila dua gol pantas dicipta Thailand di minit ke-54 dan ke-56. Adisak Kraisorn yang masuk sebagai pemain gantian terlebih dahulu meledak jaringan penyamaan sebelum Sarach Yooyen telah melakar jaringan pendahuluan hasil rembatan luar kotak penalti menewaskan Nadeo Argawinata.

Dua gol pantas itu menyentak sepenuhnya semangat perjuangan pemain-pemain muda Indonesia. Begitupun, Egy Maulana kembali memberi nyawa buat mereka apabila meledak jaringan penyamaan pada minit ke-80 hasil hantaran lambung Witan Sulaeman yang menemuinya diikuti dengan rembatan deras menembusi gawang.

Perlawanan berakhir dengan terikat 2-2 dan Thailand menjulang kejuaraan ke-6 Piala AFF apabila menang 6-2 secara agregat ke atas Indonesia. Sentuhan emas Polking di awal babak kedua seperti memberi ‘nafas’ baharu buat Thailand untuk bangkit dan memperkemaskan permainan mereka di babak kedua untuk julang kejuaraan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN