Piala AFF 2020: Jentera Serangan Vietnam Terlalu Garang Untuk Laos

Piala AFF 2020

Pasukan Vietnam tidak berdepan masalah untuk membuktikan bahawa mereka antara pasukan pilihan musim ini di saingan Piala AFF 2020 apabila membenam cabaran pasukan Laos dengan keputusan 2-0.

Beraksi di Stadium Bishan nyata anak buah Park Hang-seo tidak menunggu lama untuk terus memberi asakan bertali arus ke kubu lawan.

Gerakan pantas serta hantaran-hantaran pendek yang dilakukan nyata memaksa lawan untuk lebih banyak bertahan dan mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Pada minit ke-10, Luong Xuan Truong mendapat peluang keemasan awal untuk membuka akaun jaringan buat Vietnam. Namun rembatan beliau dari luar petak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Laos.

Sesekali Laos cuba mencipta serangan balas menerusi penyerang utama, Billy Ketkeophomphone namun mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Vietnam yang dilihat tidak banyak teruji.

Minit ke-15, Nguyen Tien Linh berjaya membuat satu tandukan namun bola sedikit tersasar keluar untuk meredakan keadaan pasukan Laos yang sering diasak.

Phan Van Duc juga gagal untuk mencipta gol pertama perlawanan buat Vietnam apabila tandukan yang dibuat beliau juga berjaya diselamatkan dengan baik pada minite ke-17.

Laos mendapat satu peluang yang baik untuk mencatat gol namun larian yang dibuat oleh Bounphachan Bounkong dikesan berada dalam kedudukan ofsaid walaupun mendapat lorongan baik daripada Billy di minit-23.

Serangan pantas bertali arus yang dibuat oleh pasukan Vietnam nyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendapatkan gol pertama pada minit ke-25 menerusi Nguyen Cong Phuong yang bijak menyudahkan peluang dalam petak penalti.

Enggan mengalah awal, Laos kembali menyusun gerakan untuk menyeimbangi permainan dan berhasil memperoleh sepakan percuma di luar petak penalti.

Billy yang mengambil sepakan tersebut sedikit kecewa apabila rembatan leret beliau sedikit lemah dan tersasar dari gawang gol Vietnam pada minit-31.

Phan Van Duc hampir menambah gol kedua pada minit ke-40 buat Vietnam apabila rembatan deras dari luar kotak penalti beliau mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol Laos.

Pada aksi separuh masa kedua menyaksikan Vietnam terus memberi asakan bertali arus buat pasukan lawan apabila sepakan leret yang dilakukan oleh Nguyen Quang Hai berjaya diselamatkan penjaga gol pada minit ke-47

Vietnam berjaya memperoleh gol kedua buat Vietnam setelah Phan Van Duc tajam menanduk bola hasil hantaran Ho Tan Tai dari sebelah kanan pada minit ke-55.

Pasukan Laos nyata bukan tandingan Vietnam pada perlawanan ini apabila lawan dengan tenang menguasai permainan serta mencipta banyak gerakan yang memaksa anak buah V.Selvaraj lebih banyak bertahan.

Pada minit ke-63 tandukan yang dilakukan oleh Billy hampir memberi masalah buat pasukan Vietnam dalam petak penalti, namun penjaga gol lawan dilihat lebih bersedia untuk mendakap terus bola tersebut.

Gerakan cantik dari Ho Tan Tai dari sebelah kanan hampir menambah gol ketiga buat Vietnam pada minit ke-69 namun rembatan beliau berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Billy mempunyai peluang keemasan pada minit ke-72 namun rembatan beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Vietnam untuk terus mengecewakan pasukan Laos.

Penalti diberikan kepada Vietnam setelah pemain Laos, Chitpasong mengeluarkan tangan untuk menghalang bola rembatan salah seorang pemain lawan dalam petak penalti pada minit ke-74.

Penjaga gol Laos berjaya menafikan gol ketiga perlawanan apabila berjaya meleretkan badan untuk menepis sepakan penalti yang diambil lawan.

Satu percubaan voli daripada Vu Van Than hampir mencemaskan gawang Laos sekali lagi namun bola tersebut berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Laos pada minit ke-84.

Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Vietnam menepati ramalan untuk memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala AFF musim ini dengan menjadikan Laos mangsa pertama mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN