Saingan kumpulan B diteruskan lagi dengan aksi Filipina menentang Singapura. Singapura bermain untuk perlawanan ke-2 mereka selepas menang ke atas Indonesia dalam aksi pertama.
Ini merupakan perlawanan pembukaan untuk Filipina dan juga perlawanan debut untuk pengurus berprofail tinggi mereka – Sven Goran Eriksson. Filipina turut menggunakan khidmat penjaga gol Cardiff City – Neil Etheridge.
Singapura beraksi dengan baik dan berjaya mengimbangi pasukan tuan rumah – Filipina. The Azkals mendominasi perlawanan namun kurang mencipta peluang pada separuh masa pertama.
Singapura memiliki beberapa momen untuk menjaringkan gol terutama sekali pada minit ke-15 apabila Faris Ramli menghantar bola kepada Irfan Fandi. Namun pemain itu gagal menyudahkannya.
Filipina bergelut untuk mencipta peluang di dalam kotak penalti Singapura. Mereka melakukan beberapa percubaan jarak jauh yang berjaya diselamatkan oleh Hassan Sunny.
Pada minit ke-78 selepas beberapa percubaan ke arah gol – akhirnya Filipina di hadapan menerusi Patrick Reichelt yang menewaskan Hassan Sunny dengan percubaan leret.
Singapura hampir terus menyamakan kedudukan menerusi Hariss Harun namun dihadang oleh Daisuke Sato.
Singapura gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat di dalam perlawanan ini untuk menguji Neil Etheridge.
Kemenangan Filipina ini membuatkan persaingan kumpulan B kembali terbuka luas terutama sekali kepada 4 pasukan yang terikat dengan 3 mata – Singapura, Thailand, Indonesia dan juga Filipina.