Piala AFF 2018: Aidil Zafuan Mahu Pastikan Benteng Pertahanan Kebal

Skuad Harimau Malaya tekad tidak akan membenarkan Thailand membawa bekalan satu gol apabila dijadualkan berdepan skuad gajah putih itu pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, berpendapat beliau dan rakan sepasukan perlu bekerja keras untuk menyekat kemaraan penyerang berbahaya pasukan lawan iaitu Adisak Kaisorn dan Supachai Jaided.

“Pada pusingan seterusnya akan mengambil kira gol di tempat lawan. Pada edisi 2012, kita seri 1-1 dengan Thailand di ­gelanggang sendiri dan kemudian (tewas) bermain di tempat lawan dengan sokongan penyokong mereka.

“Saya rasa dari situ kita boleh ambil pengajaran untuk mencari kemenangan dan memastikan tidak dibolosi di laman sendiri Sabtu ini,” katanya kepada Kosmo.

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Stadium Bukit Jali pagi tadi. FOTO: FAM

Shahrul Saad sedia rantai Adisak Kaisorn

Seorang lagi rakan gandingan Aidil di bahagian pertahanan iaitu Shahrul Saad telah pun mempersiapkan diri dari segi mental dan kecergasan untuk merantai penyerang terbaik pasukan Thailand.

“Buat masa ini jurulatih belum maklumkan lagi siapa yang akan jaga Adisak. Tapi sudah semestinya kita kena jaga dia kerana kita tahu dia penjaring terbanyak.

“Jika diberi tugas untuk menjaga dia sekalipun, Insya-Allah saya bersedia dan akan cuba melakukan tugas itu sebaik mungkin,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Walaubagaimanapun, Shahrul turut memberi amaran selain Adisak, beberapa pemain Thailand terutamanya pemain tengah mereka perlu diberi perhatian dan tidak boleh dibiarkan bebas bergerak.

“Namun, bukan dia saja perlu diberi perhatian kerana ada beberapa lagi pemain Thailand yang mempunyai kemahiran dan teknik yang baik di bahagian serangan.” tegasnya.

Leave a Reply