Piala AFC: Terbang Tinggi Bak ‘Sang Kenari’, Ini 3 Faktor Kejayaan Kedah Semalam

Setelah tampil dengan aksi kurang menyakinkan pada perlawanan pertama Piala AFC peringkat Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, kini Kedah Darul Aman (KDA) kembali mencipta kebangkitan setelah membenam cabaran Kaya Ilo FC.

Dalam perlawanan yang berlangsung semalam, KDA berhasil merekodkan keputusan 4-1 untuk mengatasi wakil dari Filipina tersebut dan kini berada di tangga kedua Kumpulan H di bawah Visakha FC.

Sebelum itu, skuad ini dikritik hebat oleh beberapa pemerhati bola sepak setelah mempamerkan aksi agak kurang memberansangkan pada perlawanan pertama menentang Bali United kerana mencatat kekalahan dan corak permainan agak negatif.

Namun, perkara tersebut dilihat berjaya diatasi kembali oleh Aidil Sharin untuk memberi kejayaan sulung buat KDA dalam saingan AFC kali ini dengan beberapa faktor.

Corak permainan lebih menyakinkan

Pada perlawanan ini jelas KDA dilihat lebih bersedia dari segenap sudut untuk menafikan pasukan lawan.

Tampil dengan corak permainan lebih kemas menerusi sistem hantaran-hantaran pendek digunakan, nyata KDA dilihat tidak lagi terburu-buru untuk terus bergerak ke hadapan serta membuat hantaran sia-sia.

Statistik perlawanan juga menyaksikan KDA berjaya menguasai permainan sebanyak 60% dan ini merupakan sesuatu yang sangat baik selain hanya mencatat kemenangan.

Tonggak import berjaya bantu pasukan

Kali ini KDA berjaya membuktikan apabila keempat-empat pemain diturunkan dalam perlawanan semalam bukan sebagai hanya penumpang tetapi menjadi kunci buat pasukan peroleh kemenangan.

Gandingan antara Sanrawat Dechmitr bersama Dechi Marcel berjaya membuatkan KDA menguasai dengan baik di bahagian tengah selain menyebabkan rantaian setiap posisi tidak putus.

Dechi yang bertindak selaku jeneral utama KDA berada di segenap arah untuk menerima dan membuat hantaran bola ke arah para pemain selain mengawal tempo perlawanan bersama Dechmitr.

Gandingan antara Mahmoud Al-Mardi bersama Ronald Ngah Wanja di bahagian serangan juga dilihat berjaya mempamerkan kreativiti pasukan di posisi tersebut agak meningkat.

Ronald Ngah tampil selaku Pemain Terbaik Perlawanan semalam

Mobiliti yang ada pada kedua pemain ini digunakan sepenuhnya untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan dan hasilnya Ronald dan Mahmoud masing-masing mencipta sesuatu pada perlawanan tersebut.

Pengaruh Aidil Sharin buat pasukan

Aidil Sharin yang sudah sekian lama bersama KDA sejak 2019 pastinya sudah mengenal selok belok pasukan dan ragam para pemain bawah kendaliannya.

Beliau antara individu paling lantang dan tidak pernah berdiam diri di tepi padang untuk memberi panduan buat para pemain beraksi dengan lebih menyakikan semalam.

Keberanian beliau untuk terus yakin kepada pemain muda seperti Kamil Akmal wajar dipuji kerana saingan tersebut pastinya memberi pengalaman baharu buat pertahanan masa depan tersebut.

Aidil Sharin sentiasa percayakan pemain dan proses pembentukan pasukan

Keyakinan Aidil itu sendiri untuk mempercayai Ronald semalam berbaloi setelah pemain tersebut menjadi mangsa kritikan pada perlawanan lalu bangkit mencipta jaringan serta bantuan gol.

Kesimpulan

KDA bukanlah beraksi dengan begitu baik semalam, namun kebangkitan yang dicipta mereka merupakan sesuatu wajar dipuji menerusi corak permainan lebih stabil dan menghasilkan keputisan positif buat penyokong.

Tampil dengan sedikit masalah sepanjang perjalanan mereka ke Bali, nyata sesuatu harus dipuji apabila mentaliti setiap pemain amat kuat untuk membuktikan buat para penyokong dengan kejayaan dicipta.

Moga KDA dapat mencipta kejayaan buat perlawanan terakhir selepas ini menentang Visakha FC serta menghidupkan peluang lebih cerah untuk layak ke pusingan seterusnya.

Leave a Reply