Piala AFC: Ngah Wanja Ledak Gol Tapi Ke Gawang Sendiri Untuk Bali United Raih Kemenangan

Ngah Wanja gol sendiri Bali United Kedah Piala AFC 2022

Penyerang utama Kedah Darul Aman FC, Ngah Wanja meledak salah satu gol buat Bali United untuk mereka tewas 0-2 dalam aksi pertama Kumpulan G, Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, sebentar tadi.

Percaturan berani oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak apabila dilihat menyenaraikan beberapa pemain yang ditandatangani di jendela perpindahan kedua Liga Super seperti pemain tengah menyerang, Mahmoud Al-Mardi, pemain tengah, Sanrawat Dechmitr dan bek tengah, Akmal Zahir dalam kesebelasan utama.

Ini menyebabkan jentera tengah Kedah gagal berfungsi dengan baik apabila gandingan pertama kali Dechi Marcel, Sanrawat dan Mardi gagal memberikan penguasaan permainan kepada pasukan Hijau Kuning.

Kehilangan Syafiq Ahmad yang menjadi penyerang kedua di belakang Ngah Wanja dilihat memberi kesan. Beliau telah kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dipanggil semula daripada pinjamannya.

Masalah persefahaman jelas menjadi musuh utama kepada Kedah sepanjang aksi babak pertama dengan percubaan tepat pertama mereka hanya hadir di minit ke-42 menerusi rembatan deras Mardi yang ditepis oleh penjaga gol Bali United, Nadeo Argawinata. Sebelum itu, Serdadu Tridatu tampak lebih menguasai permainan.

Hujan lebat sejak awal permainan sedikit merencatkan perlawanan yang menyebabkan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati. Namun, tuan rumah beberapa kali menguji benteng pelawat menerusi gerakan di bahagian sayap yang digerakkan Irfan Jaya di sebelah kiri dan Andhika Wijaya di sebelah kanan.

Peluang terbaik mereka hadir di minit ke-28 menerusi tandukkan bek tengah, Leonard Tupamahu yang berada di depan penjaga gol, Ifwat Akmal yang ditepisnya. Dua minit kemudian, tandukan Waillian Pacheco pula tersasar.

Mereka hadir lagi menguji Ifwat di gawangnya menerusi percubaan pemian tengah, Eber Bessa pada minit ke-34 dan percubaan daripada sepakan percuma pemain kelahiran Brazil itu hampir menewaskan penjaga gol.

Di minit-minit akhir babak pertama, kapten yang juga penyerang Sang Kenari, Ngah Wanja menghadiahkan gol pertama buat Bali United apabila hadangannya menerjah ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Eber Bessa.

Kedah cuba memperbaiki permainan di babak kedua dan ia memberikan sedikit penguasaan buat mereka, namun adakalanya Bali United hadir menerusi serangan balas pantas. Penampilan Ngah Wanja tenggelam.

Benteng pelawat yang diterajui Rodney Celvin, Akmal Zahir, Azmeer Aris dan Kamil Akmal dilihat utuh bertahan biarpun telah dibolosi. Jaringan sendiri Ngah Wanja berpunca daripada situasi bola mati, bukan asakan lawan.

Rentak di babak kedua dilihat hilang daripada kedua-dua pasukan apabila jarang sekali percubaan dilakukan ke gawang masing-masing. Minit ke-54, Ilija Spasojevic yang merupakan penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia musim lalu telah melepaskan satu rembatan deras untuk menguji Ifwat di gawang, namun ia tersasar.

Mardi meneruskan sentuhan mengecewakan apabila rembatannya diselamatkan Argawinata di minit ke-71.

Minit ke-80, Spasojevic hadir menerusi rembatan, namun ia ditepis Ifwat. Dua minit kemudian, hasil gerakan daripada dua pemain gantian, Privat Mbarga dan Rahmat memberikan gol kedua oleh tuan rumah apabila hantaran lintang Mbarga menemui kepala Rahmat di far-post yang mudah menandukkan masuk ke gawang.

Perlawanan berakhir dengan Bali United meraih tiga mata berharga dalam aksi pertama di Piala AFC 2022.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN