Menyedari kelab bakal mengharungi perlawanan terpenting dalam sejarah kelab untuk tempoh kebelakangan ini, Kuala Lumpur City (KL City) mengambil inisiatif untuk menghargai sokongan penyokong.
Mereka yang sentiasa mengikuti kelab ke mana saja tidak kira dalam mahu pun luar negara, malah ada juga yang turut terbang ke Vietnam untuk bersama-sama pasukan dalam saingan Piala AFC.
Demi menghargai sokongan, KL City mengumumkan yang mereka akan menaja tiket perlawanan serta belanja pengangkutan tempatan buat penyokong ketika mereka berada di Vietnam.
Dalam kenyataan yang dilakukan, KL City mahu menghargai pengorbanan penyokong mereka dengan menanggung perbelanjaan ketika di Vietnam.
“Sempena ujian penting Kuala Lumpur City dalam menghadapi cabaran peringkat separuh akhir Zon ASEAN AFC Cup menentang Viettel FC hari ini, Rabu, 10hb Ogos 2022, pihak pengurusan Kuala Lumpur City Football Club (KLCFC) telah memutuskan untuk menaja tiket perlawanan dan pengangkutan tempatan bagi penyokong kami yang sudahpun selamat tiba di Ho Chi Minh City.
“Pasukan ‘The City Boys’ yang akan membuat kemunculan pertama dalam tempoh 28 tahun di tahap kalah-mati peringkat ASEAN, amat berbesar hati dan teruja untuk memiliki sokongan sedemikian, dan khusus bagi penyokong tegar kami yang telahpun hadir ke Ho Chi Minh City (Saigon), pihak KLCFC telahpun menguruskan tiket perlawanan dan bas tempatan untuk membawa penyokong ke detik bersejarah ini yang bakal disaksikan di Stadium Thong Nhat,” ujar pihak kelab.
Cabaran KL City mementang Viettel malam ini amat penting buat kelab dan juga Liga Malaysia kerana ini peluang terbaik untuk maruah negara diangkat semula.
Hal ini disebabkan kekalahan Kedah Darul Aman kepada PSM Makassar semalam yang sekali gus menafikan peluang kita semua untuk menyaksikan pertembungan akhir zon ASEAN melibatkan dua kelab Malaysia.
Semoga berjaya buat KL City.