Kedah Darul Aman (KDA) bakal mengharungi satu lagi tugas getir mereka bagi saingan Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022 menentang jaguh dari Indonesia iaitu PSM Makassar pada hari esok.
Menerusi prestasi semasa KDA di saingan domestik ketika ini, segelintir penyokong jelas kurang meletakkan keyakinan besar untuk skuad tersebut mencipta sesuatu.
Let's do this, Sang Kenari!
🏆AFC Cup 2022 Asean Zone Semi Final
🆚 PSM Makassar
📆 9 August 2022 Tuesday
🕖 7.00 pm
🏟️ Stadium Capt I Wayan DiptaLIVE di Astro Arena 2#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2022season #afccup2022 #aseanzone #semifinal pic.twitter.com/iXo6TQjDGK
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) August 7, 2022
Namun, untuk peringkat kumpulan lalu dalam saingan tersebut, KDA dilihat berjaya membuktikan mereka layak bersaing dengan meraih gelaran juara kumpulan selepas hanya tewas satu kali sahaja.
Walaupun menyedari hakikat ketika ini PSM Makassar berada pada prestasi terbaik mereka dan kini sedang mendahului carta Liga 1 Indonesia, KDA masih lagi berpeluang untuk meraih kemenangan sekiranya mereka meningkatkan intensiti permainan serta kurang membuat kesilapan.
Ini ada tiga pemain tumpuan KDA menjelang aksi mereka menentang PSM Makassar pada hari esok di Stadium Captain I Wayan Dipta, Bali.
Ronald Ngah Wanja
Penyerang utama KDA ini tampil dengan kejutan menerusi aksinya yang sangat cemerlang dalam kejohanan tersebut selain mencatat jumlah gol yang agak banyak untuk pasukan.
Dua gol berjaya dilakar Ronald Ngah sepanjang tiga aksi peringkat Kumpulan G sebelum itu selain beberapa bantuan gol turut dicipta pemain ini.
Walaupun aksi yang dipamerkan beliau agak hambar dalam persaingan liga domestik, Ronald Ngah berpeluang untuk melakar kembali kebangkitan pada aksi seterusnya dalam peringkat separuh akhir ini.
Fayadh Zulkifli
Salah seorang pemain tempatan yang berjaya mencipta nama dengan sangat baik di saingan AFC ini menerusi aksinya yang cemerlang setiap kali dibawa turun beraksi.
Fayadh setakat ini sudah pun meledak tiga gol secara keseluruhan dalam saingan tersebut ketika membenam cabaran Visakha FC dan Kaya FC dalam peringkat kumpulan.
Kelincahan pemain sayap ini dalam melepasi pertahanan lawan tidak boleh dipertikaikan lagi menerusi larian deras yang dibuat serta memiliki ketenangan dalam menghasilkan jaringan.
Sanrawat Detchmitr
Pemain import baharu yang ditandatangani pada pertengahan musim ini berjaya memberi impak yang sangat baik di kawasan tengah untuk mengawal tempo permainan.
Detchmitr selaku bekas jeneral tengah buat skuad kebangsaan Thailand berjaya mendapat persefahaman yang baik bersama KDA sejak perlawanan pertama beliau dan bakal menjadi individu yang penting buat pasukan untuk perlawanan akan datang.
Berbekalkan kualiti hantaran bola yang tepat, kreativiti menyusun serangan, serta skil kawalan bola yang bagus menjadikan Detchmitr serba lengkap selaku perancang utama KDA.