Layak beraksi di kejohanan Piala AFC pada musim hadapan mungkin satu pencapaian yang cukup dibanggakan buat Kuala Lumpur City serta penyokongnya, tetapi bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Stanley Barnard, masih ada beberapa perkara yang perlu diambil kira.
Dalam temubualnya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas pemain Kuala Lumpur itu meluahkan kegusarannya mengenai kemampuan KL City untuk bersaing di peringkat Asia selepas menilai keadaan pasukan itu buat masa ini.
Walaupun kelab yang berpangkalan di ibu kota itu baru sahaja menjuarai Piala Malaysia, baginya masih banyak kekurangan dari pelbagai aspek terutamanya ketiadaan gelanggang latihan yang sepatutnya menjadi asas kepada kewujudan pasukan.
AFC Kagum Kejayaan Luar Biasa KL City Ulangi Pencapaian Skuad 1989
“Kami menang Piala Malaysia, namun kami masih lagi jauh ketinggalan. Gelanggang latihan pun KL City belum ada. Saya tak berapa pasti apa yang telah dilakukan kelab ini sejak 20 tahun yang lalu,” ujarnya.
“Jika mahu dibandingkan dengan JDT, kami masih jauh ketinggalan dan KL City belum bersedia untuk Piala AFC. Perjalanan kami masih jauh dan banyak perkara yang perlu diusahakan bagi meningkatkan lagi tahap pasukan ini.”
Dalam pada itu Stanley juga sempat menjelaskan khabar angin mengenai pepindahan pemain import Kipre Tchetche ke KL City dan menganggap ianya sekadar spekulasi biasa dalam bola sepak.
“KL City tidak memiliki perbelanjaan yang cukup untuk mendapatkan pemain seperti Kipre apatah lagi usia dia kini menginjak ke 35 tahun. Jika anda bertanyakan berapa nilai kami mendapatkan Romel Morales, sudah tentu anda akan terkejut.”