Piala AFC 2018: JDT Gagah Baham Persija Jakarta Untuk Dahului Kumpulan H

Full house. Demikianlah kapasiti Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang boleh kita gambarkan untuk perlawanan Piala AFC peringkat Kumpulan H yang mempertemukan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta.

Bagi JDT, peluang beraksi di halaman sendiri pasti mahu dipergunakan sepenuhnya untuk memungut 3 mata pertama. Persija Jakarta yang turut tiba bersama kumpulan penyokong, pasti mahu kembali tanpa tangan kosong.

Sumber: AFC Cup, Facebook.

Perlawanan bermula dengan aksi tempo pantas. JDT tidak membuang masa apabila pantas melakukan tekanan terhadap lawan sejak wisel permulaan ditiup oleh pengadil perlawanan.

Keadaan kekal sebegitu dengan pemain-pemain JDT saling bertukar hantaran untuk mencari ruang mengancam kubu lawan.

Pemain Persija Jakarta, Marko Kabiay menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad kuning pada minit ke-10 perlawanan selepas satu terjahan keras terhadap Pereyra Diaz.

JDT mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, termasuk rembatan dari luar kotak penalti Corbin-Ong pada minit ke-17 perlawanan, namun tidak menepati sasaran.

Selepas Corbin kemudian giliran Hazwan pada pula kecewa, apabila percubaan beliau dihadang oleh Jamie Xavier.

Peluang pertama Persija Jakarta tiba pada minit ke-25, namun Bambang Pamungkas gagal menyambar hantaran Addison. Peluang susulan selepas itu turut disia-siakan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

JDT akhirnya di hadapan selepas hantaran lintang Azrif, disambar oleh Hazwan, lantas menewaskan penjaga gol untuk JDT mendahului 1-0 pada minit ke-29 perlawanan.

Hazwan sekali lagi mempunyai peluang untuk menambah gol kedua perlawanan, namun rembatannya dari sebelah kiri gawang Persija Jakarta dihadang oleh Gunawan.

Tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Pereyra Diaz melepasi perangkap offsaid, melarikan bola dari pertahanan Persija yang kelihatan keliru, sebelum menewaskan penjaga gol yang keluar daripada posisi, untuk JDT selesa mendahului 2-0 sehingga babak pertama perlawanan berakhir.

Bermula babak kedua perlawanan, Persija melakukan pertukaran pertama dengan mengeluarkan Rudi Widodo dan memasukkan Fitra Ridwan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Walaupun Persija cuba melakukan gerakan awal, perlawanan kemudian terus didominasi oleh JDT.

Kesilapan pertahanan Persija pada minit ke-54, membebaskan Diaz satu lawan satu dengan penjaga gol, Andritany. Namun demikian percubaan oleh Diaz berjaya ditampan keluar oleh Andritany, sebelum disusuli oleh sepakan penjuru yang disia-siakan JDT.

Asri Akbar kemudiannya menjadi pemain kedua dilayangkan kad kuning di dalam perlawanan ini, selepas mengasari Luciano Figueroa pada minit ke-57 perlawanan.

Riko Simanjuntak kemudiannya dibawa masuk oleh Persija nagi menggantikan Marko Kabiay yang sudah memiliki satu layangan kad kuning pada separuh masa pertama perlawanan.

Corbin-Ong menjadi pemain JDT pertama menerima layangan kad kuning oleh pengadil selepas menjatuhkan Riko. Gerakan set pieces daripada sepakan percuma untuk Persija kemudiannya menerjah jaring JDT, namun dibatalkan oleh pengadil kerana offsaid.

Azrif Nasrulhaq kemudiannya dikeluarkan oleh Ulisses Morais pada minit ke-66 perlawanan untuk memberi laluan kepada S. Kunanlan.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Bambang Pamungkas hanya mampu menyalahkan diri sendiri selepas gagal menolak bola ke gawang terbuka JDT, selepas Haris harun gagal mengawal kemas bola hantaran ke belakang Hazwan.

Hazwan kemudiannya dikeluarkan untuk pertukaran kedua JDT, dengan Safawi Rasid dibawa masuk untuk bergandingan dengan Diaz dan Figueroa di barisan hadapan.

Bambang Pamungkas turut menyusul selepas itu untuk Persija melakukan pertukaran terakhir dengan memasukkan Ahmad Syaifullah.

Minit ke-76 perlawanan hantaran rendah Diaz disambut cantik oleh Safawi Rasid dengan rembatan kencang kaki kiri, untuk meletakkan JDT semakin selesa 3-0 di hadapan.

Haris Harris Harun kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana dikatakan sengaja menolak bola ketika masih di dalam permainan, sebelum Amirul Hadi dimasukkan untuk menggantikan Afiq Fazail yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Kedudukan jaringan kekal sehingga wisel penamat, dan JDT mengutip tiga mata pertama untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan H, Piala AFC 2018 dengan kelebihan jaringan ke atas Song Lam Nghe An yang menewaskan Tampine Rovers 2-0.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN