Wakil dari Asia, Jepun yang berdepan krisis dalaman dijangka akan bergelut untuk mengelak daripada tersingkir awal di kejohanan Piala Dunia Russia 2018 walaupun dikendalikan oleh jurulatih terbaik dunia seperti Jose Mourinho, kata bekas jurulatih pasukan itu, Philippe Troussier.
Skuad Samurai Biru itu mencetus kontroversi apabila memecat Vahid Halilhodzic, April lalu dan menggantikannya dengan bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Akira Nishino satu langkah yang disifatkan berisiko tinggi dan mampu memakan diri.
Troussier menegaskan pasukan itu tidak ‘berpeluang langsung’ untuk mara ke pusingan kalah mati selepas diundi bersama Colombia, Senegal dan Poland.
“Jika mereka dikendalikan Mourinho atau Arsene Wenger sekalipun, tetap sukar untuk Jepun melangkah ke pusingan 16 terbaik,” kata pengendali kelahiran Perancis yang membawa Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 yang berlangsung di laman sendiri.
トルシエ「日本は今回のW杯で殻を破るチャンスはない。仮にアーセン・ヴェンゲルやジョゼ・モウリーニョの手腕を以てしてもノックアウトステージまでたどり着くことは難しいだろう」https://t.co/pu3labPQoD
— リヨン侍 🇫🇷⭐️⭐️TOUCHE À TOUT, PAS UN MÂITRE (@lyonsamurai) June 11, 2018
“Andai Poland menjadi lawan pertama sekalipun tetap sukar buat mereka. Namun, mereka akan berdepan Colombia pada aksi pertama dan seterusnya Senegal, jadi pada saya, mereka langsung tidak berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya.”
Pada masa sama, Troussier mengakui kehadiran bintang seperti Sadio Mane yang beraksi bersama Senegal, James Rodriguez (Colombia) dan Robert Lewandowski (Poland) yang menggalas tugas untuk menjaringkan gol buat pasukan masing-masing bakal menyebabkan Jepun seperti berdepan ‘hukuman maut’.
SAMURAI BLUE (Japan National Team) trains behind closed doors ahead of Paraguay match #football https://t.co/7jWs7b1EaT pic.twitter.com/xtmMN8WkXQ
— jfa_en (@jfa_en) June 11, 2018
Troussier yang pernah menerima tawaran untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berkata pasukan dari Afrika kali ini mempunyai barisan yang sangat kuat.
“Colombia dan Senegal memiliki empat atau lima pemain yang mampu membawa perubahan pada bila-bila masa,” kata pengendali berusia 63 tahun itu.
“Situasi ini mendatangkan masalah kepada saya. Sukar untuk Jepun selepas kita melihat potensi individu yang dimiliki Senegal serta Colombia.”katanya.