Sebentar tadi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Universiti Selangor (UNISEL), telah menandangani memorendum persefahaman dalam satu majlis yang diadakan di kampus UNISEL, Shah Alam.
Majlis menandatangani perjanjian membabitkan kedua-dua pihak dianggap sebagai sesuatu yang bersejarah kerana buat julung kalinya, persefahaman sebegini membenarkan pemain-pemain bola sepak profesional di Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Usaha ini adalah untuk membantu para pemain untuk menyediakan diri untuk kehidupan yang lebih baik, terutama selepas karier profesional sebagai pemain bola sepak berakhir.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook milik PFAM, Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail dipetik sebagai berkata:
“Hari ini merupakan hari yang amat bermakna buat kami di PFAM, apabila pihak UNISEL secara terbukanya turut berkongsi aspirasi yang sama, untuk menyediakan sebuah lebuhraya kehidupan yang lebih baik buat para pemain bolasepak profesional, khususnya ahli-ahli PFAM”
“Memang menjadi impian kami, agar suatu hari nanti, kita juga mempunyai Vincent Kompany versi kita sendiri, yang mempunyai kelulusan MBA dan masih lagi aktif dalam kariernya. Oleh itu, diharapkan apa yang kita mulakan hari ini, akan terus berkembang dan seterusnya terbudaya dalam kalangan pemain kita,” jelas Izham.
MoU diantara PFAM dan UNISEL ini turut dilihat sebagai simbolik dan kerjasama kedua-dua pihak di dalam aspek pendidikan dan pembangunan karier pemain bola sepak profesional di dalam negara.
Kolaborasi antara PFAM dan UNISEL ini akan membenarkan ahli-ahli yang berdaftar bersama PFAM untuk terlibat di dalam program usahasama seperti penganjuran Kursus Kejurulatihan AFC Lesen ‘C’, Program Diploma Pengurusan Industri Sukan (Football Management) dan UNISEL Athlete Academic Track.
Majlis tersebut menyaksikan PFAM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail manakala Presiden & Naib
Canselor UNISEL, YBhg. Prof. Dato. Dr. Mohamad Redzuan Bin Othman menandatangani bagi pihak UNISEL. Upacara tandatangan disaksikan oleh Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Pendaftar UNISEL Tuan Hj. Shamsul Azhar Bin Mohd Yusof.
Turut hadir bersama dalam majlis tersebut adalah Setiausaha PFAM Ahmad Fauzi Saari, Bendahari PFAM Rudie Ramli, Exco PFAM Razman Roslan dan Mohd Fairuz Abdul Aziz.
Ini merupakan satu lagi langkah terpuji daripad PFAM, dan kami mengharapkan agar lebih ramai pemain bola sepak profesional yang mempunyai pendidikan tinggi mampu dihasilkan negara pada masa hadapan.
Syabas PFAM!