Sebentar tadi, kami ada menyiarkan laporan mengenai 6 pasukan Liga Malaysia yang tidak membayar gaji kepada para pemain mereka.
Menurut pihak FMLLP, 2 pasukan Liga Super dan 4 Liga Perdana belum lagi membayar gaji kepada para pemain mereka.
FMLLP memberi tempoh masa sehingga Jumaat ini untuk kesemua 6 pasukan tersebut melunaskan semua tunggakan.
Terbaru, pihak PFAM menerusi saudara Izham Ismail yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM telah mengeluarkan kenyataan media menyokong tindakan FMLLP itu.
Berikut adalah kenyataan beliau:
“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP iaitu Kevin Ramalingam yang disiarkan di The Star pada 29 Mac 2017, PFAM amat bersetuju dengan cadangan penolakan mata yang ingin dibuat dan berharap agar ia dilaksanakan secepat mungkin.”
“Cadangan ini telah lama dikemukakan tetapi tidak dapat dilaksanakan dahulu kerana wujudnya kekangan yang tidak dapat dielakkan.”
“Namun begitu, melihat kepada perubahan positif dan kesediaan FMLLP untuk melaksanakan cadangan ini, PFAM menyambut baik dan menggesa agar pasukan-pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji tampil memberi komitmen untuk menyelesaikan isu ini.”
“Bagi PFAM, sudah tiba masanya pelaksanaan potongan mata ini disegerakan sebagai langkah awal selain membawa mesej jelas bahawa isu tunggakan gaji adalah perkara yang sangat serius dan mesti dibasmi sepenuhnya.”
“Ia juga adalah sebagai lambang keadilan buat para pemain yang telah lama menunggu hak mereka dan terpaksa menempuh suatu tempoh kehidupan yang sukar kerana sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh pasukan untuk menyelesaikan isu ini.”
“Pada masa yang sama juga, PFAM berharap agar kes tertunggak di FAM dapat disegerakan bagi menjaga kebajikan pemain dan juga memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin ke atas pasukan yang ingkar dengan arahan Jawatankuasa Status FAM.”
Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia
Baca juga: 6 Pasukan Liga Malaysia Bakal Dipotong Mata Jika Tak Bayar Gaji Pemain