Tindakan Malaysian Football League (MFL) yang menyingkirkan Sarawak United dan Melaka United dari saingan Liga Super 2023 disambut baik Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).
Dalam kenyataan rasmi mereka, PFAM menyambut baik usaha MFL untuk berlaku tegas kepada kelab-kelab yang culas dalam pembayaran gaji.
Pada hemat PFAM, kegagalan membayar gaji adalah salah satu punca utama kenapa setiap pasukan Liga Malaysia akan dikenakan hukuman oleh FIFA sekali gus lesen kebangsaan gagal diperoleh.
Bagi PFAM, tindakan yang dilakukan oleh MFL adalah sebagai satu mesej tegas kepada semua kelab agar tidak main-main dalam urusan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan.
“Tindakan yang diambil oleh MFL dapat dilihat sebagai suatu penanda aras untuk mengelakkan risiko masalah kebajikan yang dihadapi oleh para pemain untuk terus berulang pada musim yang akan datang,” kata PFAM.
Dalam masa yang sama, PFAM juga menyaksikan situasi ini adalah sebagai satu peluang luas untuk pemain lebih berani menyuarakan isu bayaran gaji tertunggak yang dihadapi mereka.
MFL telah mengambil tindakan terhadap dua pasukan iaitu Melaka United dan Sarawak United dengan menyingkirkan mereka daripada saingan Liga Super 2023.
Ini menyaksikan saingan yang sepatutnya menjadi 18 pasukan berubah kepada 16 pasukan sahaja dengan Sarawak dibenarkan untuk melakukan rayuan.
Sementara Melaka pula memang telah pun dihukum sebelum ini dengan mereka dinafikan slot Piala Malaysia 2022.