Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi kenyataan daripada Timbalan Presidennya, Muhammad Shahrom Abdul Kalam mengharapkan kerjasama daripada para pemain dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) dan kerajaan Malaysia.
Pada 16 Mac lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman khas Perintah Kawalan Pergerakan berhubung wabak COVID-16 yang semakin tular di seluruh negara.
Selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu, pihak MFL turut mengeluaran garis panduan untuk dipatuhi oleh setiap pasukan Liga Malaysia pada musim ini.
Sehubungan dengan itu, PFAM mahu semua pihak terutamanya setiap pasukan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap larangan supaya tidak membuat sebarang sesi latihan dan juga tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan pada ketika ini.
Shahrom yang kini beraksi bersama Negeri Sembilan turut menyeru semua pemain bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan menghadkan pergerakan dan tidak mengambil kesempatan atas ‘pelepasan’ yang diberikan ini.
”Tanpa sebarang prejudis, tindakan ini seharusnya diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pemain dan juga para pegawai pasukan terjaga semaksimum mungkin. Ini juga bagi mengelakkan penularan penyakit yang semakin membimbangkan ketika ini.”
”Mana-mana pemain yang mempunyai simptom-simptom COVID-19, segeralah mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan sebarang perkara yang lebih buruk berlaku.”
”PFA Malaysia mendoakan agar semua pemegang taruh bolasepak sentiasa dibawah perlindungan-Nya dan semoga kita semua dapat mengharungi ujian ini dengan penuh rasa sabar dan tenang,” ujar Shahrom Kalam lagi.
Kredit foto: PFAM