Quantcast

BERITA

PFAM Mahu FAM Ambil Tindakan Tegas Terhadap Isu Perkauman Dalam Liga Malaysia

Isu perkauman sentiasa menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat sukan bola sepak dunia sehingga kini. Ianya sering terjadi di sekitar liga utama Eropah seperti Liga Perdana Inggeris dan Serie A, kini isu tersebut turut melanda Liga Malaysia.

Situasi itu merencatkan keindahan sukan yang paling diminati di atas muka bumi ini dan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepatutnya lebih pro aktif dalam isu menangani isu perkauman. Sedangkan mereka adalah badan yang popular dengan slogan: “Let’s kick racism out of football”.

Justeru itu, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mengambil tindakan yang tegas dengan mengetatkan undang-undang dan peraturan badan tersebut.

Ketika ini, badan induk bola sepak negara itu tidak mempunyai hukuman yang khusus untuk mengatasi masalah tersebut. Beberapa pemain import dalam Liga Malaysia pernah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pengurusan pasukan mereka namun tiada sebarang tindakan diambil.

“FIFA mempunyai peraturan dan akta yang jelas dalam isu ini dan ia sesuatu yang sepatutnya diambil oleh FAM dengan kerjasama pemegang taruh Liga Malaysia,” kata Izham dalam The Star.

Sebagai contoh, penyokong pasukan yang didapati bersalah mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap pemain asing  dilarang memasuki stadium selama dua tahun seperti mana yang berlaku di eropah.

Izham juga turut menjelaskan kelemahan dalam undang-undang dan peraturan yang sedia ada merupakan punca sebenar isu perkauman dalam Liga Malaysia masih gagal ditangani dengan baik.

“FAM dan Malaysia Football League (MFL) perlu bekerjasama untuk perhebatkan lagi kempen menolak isu perkauman tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan. Mereka perlu kaji semula dan perbaiki peraturan yang sedia ada,” katanya.

Izham turut mengalakkan para pemain membuat aduan kepada PFAM jika berdepan masalah berkaitan isu perkauman. Sebelum ini, pemain import Pulau Pinang, Ndumba Makeche menghadapi hinaan berbaur perkauman ketika beraksi menentang Selangor United.

“Ianya pengalaman yang menakutkan jika berdepan dengan isu ini dan bukan mudah untuk pemain tampil ke depan. Saya nasihatkan kepada pemain supaya beranikan diri untuk membuat aduan rasmi.

“Pemain juga boleh datang ke PFAM dan kami akan cuba membantu sebaik mungkin. Meluahkan dalam media sosial tidak akan menyelesaikan masalah ini.,” jelasnya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!