Barisan kepimpinan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa persatuan yang membela nasib para pemain bola sepak tanah air masih berpegang teguh dengan prinsip betapa kontrak antara kedua-dua pihak perlu dihormati dan dilaksanakan sebaiknya.
Ia bagi mengulas garis panduan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) digelar ‘COVID-19 – Football Regulatory Issues’ pada awal bulan April lalu berikutan serangan wabak COVID-19 pada ketika ini.
Garis panduan yang disambut baik oleh FAM itu telah menggesa agar semua pihak terutamanya para pemain dan para majikan menjadikan saranan FIFA tersebut sebagai rujukan dalam mencari titik persamaan berhubung isu kontrak pemain.
Meskipun menganggap isu pemotongan atau penangguhan gaji, bukanlah merupakan suatu perkara yang perlu dibangkitkan ketika para pemain turut terkesan dalam keadaan ini, PFAM mengakui pihak mereka tidak pernah menghalang mana-mana ahli untuk berunding secara sukarela dengan pihak majikan.
Sehubungan dengan perkara tersebut juga, PFAM tidak mahu majikan menggunakan alasan COVID-19 sebagai permasalahan utama kerana terdapat majikan yang sudah mengalami masalah tersebut walaupun pandemik ini masih belum menyerang dunia lagi.
Apa yang dikesalkan oleh PFAM sebelum ini adalah, pihak majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan gaji kepada para pemain.
Dalam pada itu, terdapat pasukan-pasukan yang bermasalah untuk membayar gaji pemain menjadi antara yang paling lantang untuk mencadangkan agar pemotongan gaji para pemain dibuat.
Selain daripada itu antara perkara yang mencuri perhatian PFAM dalam kenyataan dikeluarkan ialah:
Perlu diambil kira, para pemain yang disarankan untuk pemotongan gaji ini adalah mereka yang bergaji kecil, yang sudah lama tidak menerima gaji, yang mempunyai tanggungan, malah ada juga yang sudah dihalau dari rumah sewa, diberikan notis penarikan kereta, rumah yang sudah dilelong (semuanya bermula dari pasukan yang culas bayar gaji), tetapi akhirnya ditempelak kerana ‘tidak sensitif’ dengan kewangan pasukan.
Malah, ada pasukan yang telah pun ‘memulakan’ pemotongan gaji ini bagi bulan Mac 2020, walaupun perkara ini masih tidak menerima persetujuan daripada pemain.
Perkara ini yang juga harus diambil kira dan dipantau oleh FAM dan MFL secara segera, tidak berlengah dan memutuskan rantaian birokrasi prosedur, supaya rundingan yang disarankan oleh FAM dan MFL ini dapat dijalankan secara ‘good faith’, dan tidak dilihat sebagai berat sebelah.
Sehubungan itu, tanpa sebarang prejudis, serta demi memastikan hak setiap pemain dilindungi, PFAM menyatakan bahawa rundingan untuk membincangkan berkenaan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain hendaklah memenuhi dua syarat utama.
Pertama, pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik ini bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu. Ini jelas, dan tiada perdebatan mengenainya.
Kedua, rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain (case by case), bukannya dilakukan secara pukul rata.
Hal ini memandangkan setiap pemain mempunyai nilai gaji yang berbeza, keperluan yang berbeza dan selayaknya bersetuju atas nilai pemotongan yang berbeza.
Ini turut bagi memastikan setiap pemain mendapat hak yang sama – untuk berunding terus bersama majikan, dan seterusnya bersetuju dengan kadar yang pemain sendiri merasakan adil untuknya – sepertimana rundingan nilai gaji dilakukan.
Ketika rundingan berlangsung, demi memastikan ia dijalankan secara ‘in a good faith’, pemain juga berhak mendapatkan segala info, yang dirasakan munasabah, mengenai status kewangan pasukan, bagi memastikan pasukan memasuki proses rundingan dengan ‘clean hand’.
PFAM juga mengingatkan bahawa segala unsur niat jahat seperti paksaan (coercion), pengaruh tak wajar (undue influence), representasi yang salah (misrepresentation) dan penipuan (fraud), tidak akan menerima sebarang toleransi daripada pemain.
Sekiranya wujud perkara seperti ini ketika rundingan berlaku, PFAM menggesa tindakan lebih tegas diambil oleh pihak FAM dan MFL dengan segera, yang pastinya akan menjadi wira melindungi para pemain, sekaligus menyelamatkan industri ini.
Sebagai badan yang memperjuangkan nasib para pemain, PFAM mengakui bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk tidak memberikan kerjasama kepada para pasukan, MFL mahupun FAM.
PFAM menegaskan sentiasa terbuka untuk duduk berbincang, namun pada masa yang sama, adalah sangat mustahak untuk kami menyampaikan mesej kepada semua dari perspektif para pemain.
Sepertimana keinginan setiap pihak untuk memastikan industri bolasepak kita terjaga dan terpelihara, begitulah juga keinginan kami yang sememangnya meletakkan sepenuh kehidupan kami kepada industri ini.
Buat PFAM, menjaga kepentingan dan hak para pemain juga merupakan cara untuk mereka memastikan kesinambungan industri ini.
Dalam situasi ini, memberi pendapat yang berbeza bukan bererti mencari siapa yang betul siapa yang salah, tetapi ia soal meletakkan keadilan sebagai juara.
PFAM dalam pada itu dengan rasa hormat, memohon pihak FAM dan MFL, untuk membantu pasukan-pasukan yang mempunyai masalah kewangan ini, agar di akhirnya, para pemain tidak menjadi mangsa.
Kredit foto: PFA Malaysia