Jurulatih skuad The Cops, Zulhamizan Zakaria mengesahkan pemain kelahiran Romania, Petrisor Voinea yang sebelum ini beraksi bersama Wej SC dalam saingan Liga Bola Sepak Arab Saudi telah sah menyertai pasukan PDRM FA.
Beliau bakal menjadi nadi utama jentera serangan PDRM bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Zulhamizan bercakap kepada Berita Harian, pengalaman yang dimiliki pemain berumur 27 tahun itu menjadi taruhan skuad itu untuk membentuk keserasian dengan pemain tempatan.
“Saya percaya kerjasama semua pemain termasuk pemain import lain dapat membentuk keserasian sekali gus menghasilkan keputusan positif buat The Cops.
“Pada masa sama, semua pemain sudah mula menunjukkan semangat juang tinggi untuk meraih kejayaan bermakna,” katanya.
PDRM sebelum ini telah mengikat dua bekas pemain import Kuantan FA, Sim Woon Sub dan Shunsuke Nakatake, masing-masing dari Korea Selatan dan Jepun di bahagian tengah.
Beberapa aksi persahabatan telah diaturkan bagi memastikan pasukan itu sudah bersedia dan berada di tahap terbaik untuk menghadapi saingan Liga Premier musim depan.
“Saya harap pemain akan terus mempertingkatkan lagi kualiti permainan mereka kerana PDRM musim baharu akan tampil dengan keazaman tinggi,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap PDRM, Shahurain Abu Samah tekad membawa skuad berkenaan menduduki tangga jauh lebih baik musim ini.
Pemain berusia 30 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak setahun dengan PDRM berkata, prestasinya semakin baik selepas sebulan menjalani latihan di bawah bimbingan pengendali baru, Zulhamizan Zakaria.
Katanya, biarpun baru pertama kali berlatih di bawah bekas pengendali Kuantan FA itu, tetapi dia tidak menghadapi banyak masalah sebaliknya semakin serasi dengan teknik serta taktikal yang diketengahkan.
“Setakat ini, saya bertambah yakin dengan prestasi semasa selepas sebulan berada di bawah Zulhamizan malah gandingan beliau dengan pengendali sebelum ini, Mohd Fauzi Pilus tampak lebih meyakinkan.
“Tindakan pengurusan PDRM membawa masuk beberapa pemain muda terutama bekas pemain Kuantan FA adalah bijak kerana mereka boleh menjadi nadi kepada pasukan ini nanti kerana sudah memiliki pengalaman mengharungi saingan Liga Perdana sebelum ini.
“Kami juga sudah berjaya membentuk persefahaman mantap dengan pemain baru termasuk import dan saya percaya ia akan menjadi elemen penting dalam membantu kami menjadi pesaing utama Liga-M 2018 ini,” katanya kepada Berita Harian.
Shahurain antara tonggak yang membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 sebelum beralih arah ke FELDA United FC dan PKNS FC.
Menurut pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, keputusan memberangsangkan dalam dua aksi persahabatan dengan Negeri Sembilan iaitu menang 3-0 di Paroi dan 1-1 di Bangi baru-baru ini, meningkatkan lagi semangatnya untuk menjulang nama skuad The Cops.
“Saya akan bekerja lebih keras lagi untuk membantu pasukan meraih pencapaian lebih baik dengan sasaran peribadi membantu pasukan layak ke Liga Super musim 2019,” katanya.
Shahurain berkata, kehadiran FELDA United FC dalam saingan Liga Perdana bakal menjanjikan saingan lebih menarik dan sengit dan ia akan membuatkan setiap pasukan berusaha memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya akui kehadiran FELDA United FC akan menjadikan Liga Perdana lebih sengit kerana mereka amat berpengalaman dan memiliki ramai pemain berwibawa,” katanya.