Quantcast

BERITA

Petr Cech Sertai Pasukan Hoki Ais, Sudah Tak Sabar Mahu Melakukan Debut

Bekas penjaga gol Chelsea dan Arsenal, Petr Cech keluar daripada persaraan, namun bukan kembali ke lapangan ‘rumput’, sebaliknya lapangan ais.

Petr Cech mengesahkan beliau menandatangani kontrak dengan pasukan hoki ais semipro, Guildford Phoenix. Beliau akan membuat debut pada Jumaat ini.

Cech menerusi akaun media sosial beliau berkata: “Saya berbesar hati mendapat peluang untuk bermain dengan Phoenix untuk mendapatkan pengalaman perlawanan.”

“Saya berharap ini akan membantu pasukan yang masih muda [baru] ini untuk mencapai matlamat mereka musim ini, dan memenangi sebanyak mana perlawanan yang mungkin, apabila saya beraksi.”

“Selepas 20 tahun menjadi pemain bola sepak, ianya akan menjadi pengalaman indah bagi saya, untuk bermain sukan yang saya gemar tonton dan bermain, ketika saya kecil.”

Cech memuat naik gambar beliau ketika sedang menjalani sesi latihan dengan Phoenix. Gambar itu dipercayai diambil pada Ogos lalu. Cech menjadi ‘goaltender’ untuk pasukan Phoenix.

Cech bersara penuh daripada bola sepak selepas tamat musim lalu. Beliau bermain di Arsenal sejak 2015. Sebelum itu, Cech bermain untuk Chelsea selama 11 tahun. Beliau menjadi nadi penting generasi emas, dalam revolusi awal di bawah Abramovic.

Pada Jun, Cech kembali semula ke Chelsea untuk menjadi Penasihat Prestasi, satu peranan teknikal di kelab tersebut.

Jurulatih Phoenix, Milos Melicherik menyatakan: “Kehadiran Petr Cech di dalam pasukan membuatkan kami sudah tidak sabar untuk memulakan kempen musim baru. Beliau telah banyak menunjukkan peningkatan, sejak dari hari pertama lagi.”