Bukan mudah untuk membuatkan pemain yang tenang dan profesional seperti Petr Cech untuk marah. Kecuali jika anda adalah Mike Dean.
Inilah yang berlaku kepada Petr Cech selepas pengadil perlawanan Premier League antara West Brom dengan Arsenal awal pagi semalam, Mike Dean menghadiahkan penalti kepada West Brom pada minit ke-88.
Mike Dean mendakwa Calum Chambers menghalang bola hantaran lintang bek kiri West Brom, Kieran Gibbs dengan menggunakan tangan. Sedangkan mengikut rakaman ulang tayang insiden tersebut, jelas ia merupakan insiden ball-to-hand di mana kedudukan tangan Chambers berada dalam kedudukan semulajadi (natural position).
Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan tersebut, penjaga gol Arsenal tersebut memberitahu situasi tersebut tidak sepatutnya dihadiahkan penalti dan telah berkali-kali dijelaskan oleh pengadil ketika perjumpaan antara pengadil dengan pemain-pemain Premier League.
“Setiap kali kami (pemain) menghadiri perjumpaan dengan pengadil sebelum musim Premier League bermula, mereka (pengadil) menjelaskan apabila pemain berada dekat dengan bola dan tangannya berada dekat dengan badannya – ia tidak akan menjadi penalti,” kata Cech.
Cech yang jelas kelihatan marah dalam temuramah selepas perlawanan tersebut, tetapi masih tenang, turut mempersoalkan keputusan Dean yang memberi kad kuning kepada beliau.
“Apabila saya tanya beliau, “Mengapa [beri penalti]?”, beliau boleh sahaja memberitahu saya beliau akan menjelaskannya selepas perlawanan. Tetapi beliau terus memberikan saya kad kuning hanya kerana bertanya soalan. Ini yang membuatkan saya lebih kecewa.”
“Saya menjangkakan apabila saya bertanya soalan kepada beliau dengan rasa hormat, beliau akan memberikan jawapan secara normal. Bukannya memberi kad kuning,” luah Cech lagi.
Sebagai rekod, Arsenal terikat 1-1 dengan West Brom dalam perlawanan ini. Gol penalti Jay Rodriguez pada minit ke-88 memadam kelebihan gol Arsenal yang dijaringkan oleh Alexis Sanchez 3 minit sebelum itu.
Keputusan seri ini bagaimanapun membolehkan Arsenal melonjak ke tangga ke-5 liga mengatasi Tottenham Hotspur yang kekurangan satu perlawanan. Mereka ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City ketika ini.