Ketika melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut melihat formasi 4-3-3 sebagai asas kepada perancangan tersebut, dengan tujuan untuk menyerlahkan potensi pemain-pemain negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo yang menyifatkan ia adalah pendekatan logik berdasarkan kemampuan pemain negara pada hari ini. Ia juga dipercayai mampu membantu menterjemahkan falsafah bola sepak negara dengan lebih baik selepas ini.
Siaran Media: FAM Lancar DNA Bola Sepak Malaysia
FAM hari ini melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.
Baca penuh di https://t.co/MNBQCrfymg#FAM #HarimauMalaya #CaraMalaysia pic.twitter.com/E9ciGrDn4c
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) July 9, 2019
Menurut De Roo lagi, pasukan yang berjaya dan kekal konsisten sentiasa mengamalkan corak penguasaan bola dan proaktif dalam permainan masing-masing. Dipetik daripada Berita Harian, beliau dipetik sebagai berkata:
“Bola sepak sememangnya berkembang dengan pesat dan banyak berubah dalam tempoh 10 hingga 12 tahun ini. Namun jika melihat kepada pasukan yang berjaya secara konsisten, mereka mengamalkan corak permainan menguasai bola dan pendekatan proaktif.
“4-3-3 mungkin formasi paling sesuai untuk menghidupkan skuad negara namun mungkin boleh menjadi 4-2-3-1, bermain dengan seorang pemain tengah bertahan atau seorang pemain tengah menyerang,” jelas beliau mengenai kepelbagaian corak permainan yang diwujukan.
“Ini akan menggalakkan banyak kombinasi dan bermula permainan daripada bawah.
De Roo juga berkata untuk beraksi di tahap tertinggi, pemain-pemain muda negara juga perlu mengubah pendekatan permainan dengan tidak hanya melakukan hantaran kepada pemain No.9.
“Untuk beraksi di peringkat lebih tinggi, ia memerlukan keputusan berkualiti dan transisi yang pantas. Kita tidak boleh mengajar pemain muda sekadar melakukan hantaran kepada pemain No.9.
“Inilah falsafah yang akan kita gunakan bagi semua peringkat. Saya percaya DNA Bola Sepak Malaysia ini cukup bagus untuk masa depan bola sepak negara dan ia disokong oleh semua ahli gabungan.”