Ketua jurulatih Petaling Jaya City (PJ City FC), K. Devan memberi amaran awal bahawa anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak dalam perlawanan Liga Super, Jumaat ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Beliau menegaskan pemainnya sudah tidak sabar untuk turun beraksi setelah melakukan persiapan rapi dan menjalani latihan keras sepanjang Liga Malaysia direhatkan hampir tiga minggu.
Devan meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan enam teratas Liga Super dan tekad mengutip tiga mata penuh dalam baki 7 perlawanan yang akan datang. Kekalahan 0-3 kepada PKNS pada bulan lalu memberi pengajaran yang berguna kepada pasukannya.
“Kekalahan kepada PKNS adalah satu peringatan. Mereka sedia bangkit kembali dan menebusnya dalam perlawanan dengan Perak. Jalan terbaik ialah menumpukan kepada dua perlawanan di tempat sendiri pada masa ini.
“Kami ada dua peluang besar, perlawanan ini (menentang Perak) dan apabila kami bermain dalam perlawanan seterusnya berhadapan Felda. Anak buah saya kesemuanya bersedia, amat berkeyakinan dan akan berjuang untuk kemenangan sehingga minit terakhir.
“Bagi saya dua perlawanan di tempat sendiri nanti adalah perlawanan penting buat kami,” katanya dalam utusan Malaysia
PJ City kini berada di kedudukan kesembilan dalam carta Liga Super dengan 17 mata selepas mencatat lima kemenangan dan dua seri manakala Perak di tangga kelapan dengan 18 mata.
Kemenangan ke atas Perak juga akan memastikan PJ City terselamat daripada berada dalam zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.
Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic melahirkan rasa gembira dengan prestasi penyerangnya, Shahrel Fikri yang menjaringkan hatrik ketika menentang Timor Leste di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia kelmarin.
Beliau dijangka akan menurunkan pemain itu dalam pertemuan menentang PJ City untuk memastikan tiga mata penuh dapat dibawa pulang ke Ipoh.
“Saya gembira untuk Shahrel dan keluarganya berikutan kejayaannya, saya berharap dia akan terus cemerlang. Dia pemain muda berbakat besar, saya tidak pernah meragui kebolehannya.
“Selepas menemui sentuhan di peringkat antarabangsa, kini saya berharap dia akan meneruskan sentuhan pemusnah bersama pasukan Perak dalam baki kempen kami selepas ini, bermula dengan pertembungan dengan PJ City FC, Jumaat ini,” kata Durakovic.