Saingan akhir Pestabola Merdeka 2024 bakal berlangsung hari ini dengan membabitkan pasukan tuan rumah iaitu Malaysia menentang cabaran Lubnan bagi mengetahui siapa bakal merangkul kejuaraan tersebut.
Atas kertas, mungkin Lubnan dianggap sebagai pilihan utama menerusi kedudukan ranking serta kualiti dipamerkan mereka di pentas antarabangsa jika dibandingkan Harimau Malaya.
Namun, skuad kendalian Pau Marti Vicente tidak boleh dipandang ringan dengan sebarang kejutan mampu dilakar pasukan berkenaan yang turut memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri.
Terdahulu, Lubnan terlebih dahulu melayakkan diri ke pentas akhir selepas kejayaan mereka mengetepikan juara musim lalu iaitu Tajikistan menerusi keputusan 1-0.
Sementara Malaysia juga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir setelah mereka mengatasi cabaran sengit daripada Filipina dengan keputusan 2-1.
Melihat kepada prestasi semasa skuad negara, beberapa kelemahan lalu wajar diatasi segera jika mereka mempunyai keinginan untuk meraih gelaran selaku juara.
Disiplin pertahanan
Posisi pertahanan negara antara perlu diperbaiki selepas segala kelemahan telah ditampilkan mereka pada aksi lalu sewaktu melayan kunjungan daripada Filipina.
Aksi pemain seperti Dion Cools dan Feroz perlu tampil lebih berdisiplin untuk menyerap segala kemungkinan bakal dilakukan oleh Lubnan yang memiliki barisan serangan berkualiti.
Malah, pemain seperti Daniel Ting dan Matthew Davies juga wajar lebih pantas untuk turun ke bawah membantu rakan pertahanan lain ketika berada dalam situasi berbahaya.
Persefahaman pemain tengah
Kelonggaran posisi tengah pada aksi lalu menjadi asbab mengapa Filipina dilihat mudah menguasai serangan serta mencipta gerakan berbahaya pantas yang memberi ancaman besar buat Malaysia.
Pada aksi final ini, jelas Lubnan bakal menggunakan segala pengaruh mereka di posisi tengah menerusi barisan pemain berkualiti dimiliki untuk mengatasi cabaran Harimau Malaya.
Persefahaman pemain seperti Nooa Laine, Paulo Josue, serta Syamer Kutty sudah tentu ditagih sebaik mungkin untuk mengekang serta mematikan ancaman lawan dengan lebih awal.
Kualiti penyudah
Mengimbas pada aksi lalu, Malaysia sebenarnya memiliki banyak peluang terbuka untuk mendapatkan gol namun ianya dibatasi oleh ketumpulan penyurah barisan serangan negara.
Pemain seperti Romel Morales, Josue, Akhyar Rashid, serta Arif Aiman perlu memperbaiki aspek penyudah mereka untuk mengelak setiap peluang terbuka disia-siakan begitu sahaja.
Malah, pemain naturalisasi dari Brazil iaitu Josue juga wajar mempertajamkan lagi kualiti sepakan jarak jauh beliau untuk tampil lebih tepat ke arah gawang gol.