Saingan Pestabola Merdeka 2024 mungkin bakal tampil sedikit sunyi kali ini tanpa sorakan padu daripada kumpulan penyokong yang dikenali sebagai Ultras Malaya 07 setelah ia dinyatakan mereka sendiri di media sosial.
“Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat.
Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka, jelas mereka di media sosial Facebook serta mendapat banyak reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Terdahulu, beberapa pertubuhan Ultras di negeri lain seperti Gate H Boys (Kelantan), Ultras Nogori (Negeri Sembilan), serta Ultras Panther (Pulau Pinang) turut memuat naik kenyataan mereka tidak akan hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk beri sokongan buat Harimau Malaya.
“Bagi menyatakan pendirian kami. Dengan ini, kami dari Ultras Kelantan (Gate H Boys) sebulat suara memboikot ke semua perlawanan Pestabola Merdeka edisi ke-43 diatas alasan kami yang tidak berpuas hati berkaitan beberapa perkara melibatkan badan induk bolasepak Malaysia (FAM).
“Kami juga melihat permasalahan dalaman yang melibatkan badan induk bolasepak Malaysia ini semakin parah dan perlu dibaik pulih dengan kadar segera,” jelas Gate H Boys pula di laman rasmi mereka.
“SETELAH BERBINCANG DAN MAKA DENGAN SETEGUH SEMANGAT DAN SEBULAT KATA, ULTRAS PANTHERS TIDAK AKAN TURUN KESEMUA PERLAWANAN DI PESTABOLA MERDEKA 2024.
“FAM & MFL GAGAL. Isu perletakan jawatan coach KPG yg sangat kontroversi & jawapan dari FAM penuh sandiwara.
“Keadaan pengurusan Liga M yg makin merapu dari MFL serta beberapa KEPUTUSAN dari MFL & FAM berkait isu2 semasa baru2 ni yg menimbulkan banyak keraguan dan tiada penjelasan.
“Kegagalan FAM atur perlawanan persahabatan yg diminta coach KPG sebelum kelayakan piala dunia baru-baru ini membawa kepada kegagalan layak ke pusingan ketiga.
“FAM tidak mengambil serius isu surat layang berkaitan kebobrokan peringkat dalaman FAM dan tiada empati atas kejadian yg menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim,” ulas Ultras Panthers pula.
Selain itu Ultras Kedah juga turut menyatakan sokongan mereka bersama pertubuhan Ultras lain untuk tidak hadir ke SNBJ demi memberi sokongan buat Malaysia.
“UK’09 MEMBOIKOT PESTA BOLA MERDEKA (PBM) ATAS DASAR PROTES TERHADAP BADAN INDUK FAM DIATAS BEBERAPA KEJADIAN BURUK YANG MENIMPA BOLASEPAK TANAH AIR KEBELAKANGAN INI.
“Antaranya, isu perletakan jawatan jurulatih KPG yang tiada penjelasan dari FAM, kes jenayah yang membabitkan keselamatan pemain kebangsaan yang masih lagi tiada tindakan selanjutnya.
“Gagal dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan sehingga kini tiada penjelasan dari pihak FAM. Jadual Liga Malaysia yang tak terurus dan membebankan pasukan bertanding,” terang mereka.