Selepas kecewa selaku naib juara musim lalu, akhirnya Malaysia berjaya memastikan Piala Pestabola Merdeka kekal di negara ini setelah pasukan kebangsaan kita menewaskan cabaran getir diberikan oleh Lubnan pada pentas akhir.
Bawah kendalian Pau Marti Vicente, skuad Harimau Malaya sebelum itu cemerlang mengatasi Filipina menerusi kemenangan 2-1 untuk melayakkan diri ke pusingan akhir bertemu Lubnan.
Walaupun begitu, beberapa pertikaian timbul dalam kalangan peminat yang kurang berpuas hati akan kualiti permainan ditampilkan Malaysia ketika berdepan Filipina.
Namun, rombakan semula dibuat oleh Pau Marti termasuk menukar beberapa pemain kesebelasan utama nyata membuahkan hasil di atas padang pada aksi final semalam sehingg meraih pujian daripada peminat di medi sosial.
Malah, Lubnan pula tampil serba tidak menjadi sehingga memudahkan Malaysia untuk beraksi begitu baik serta mendapat sorakan positif oleh penyokong di SNBJ sepanjang aksi berlangsung.
Berikut merupakan tiga faktor yang kami anggap menjadi asbab buat kejayaan Malaysia untuk menewaskan cabaran Lubnan di pentas akhir Pestabola Merdeka 2024.
Kreativiti serangan
Jika aksi lalu kualiti serangan negara antara paling mendapat pertikaian ramai, kali ini ia menjadi salah satu faktor terkuat mengapa Malaysia mampu mengatasi cabaran Lubnan.
Seperti diketahui Lubnan hadir dengan barisan pertahanan yang memiliki reputasi cukup baik di pentas antarabangsa selain faktor fizikal mereka mengatasi rata-rata pemain serangan Malaysia.
Namun, kreativiti ditampilkan oleh Safawi Rasid, Endrick dos Santos, bersama Syafiq Ahmad jelas begitu cemerlang untuk memanipulasi benteng pertahanan lawan.
Malah, gandingan ketiga pemain itu turut memudahkan Romel Morales untuk melonjak lebih positif pada aksi ini sehingga merekodkan satu jaringan peribadi.
Pujian penuh sudah tentu perlu diberikan kepada pemain naturalisasi dari Brazil iaitu Endrick yang banyak menghidupkan jentera serangan Malaysia.
Persefahaman sesama pemain
Daripada segi hantaran, kedudukan pemain, serta tempo permainan membuktikan kesebelasan utama Harimau Malaya semalam berada pada tahap persefahaman cukup tinggi.
Beberapa gerakan dijana Malaysia boleh dianggap cukup sempurna apabila aliran bola sentiasa tidak putus terutama di posisi tengah negara yang beraksi cemerlang.
Kelibat tiga serangkai membabitkan Endrick bersama Syafiq Ahmad, serta Safawi jelas sangat baik untuk meraih pujian penuh daripada semua pemerhati bola sepak tempatan.
Pertahanan lebih berdisiplin
Penghargaan penuh wajar diberikan kepada barisan pertahanan negara yang tidak mengenal erti lelah untuk memastikan Harimau Malaya tidak dibolosi langsung oleh pihak lawan sejak aksi berlangsung.
Baik Dominic Tan, Dion Cools, Corbin Ong, dan Matthew Davies, semua pemain memainkan peranan penting serta tampil cukup berdisiplin untuk mengekang asakan Lubnan.
Malah, pemain gantian seperti Feroz Baharuddin juga tampil cukup cemerlang selain bantuan tambahan daripada Nooa Laine bersama Syamer Kutty untuk mengukuhkan aspek pertahanan skuad kebangsaan.