Saingan Pestabola Merdeka 2023 telah pun menamatkan tirai dengan Malaysia gagal untuk mendapatkan kejuaraan tersebut selepas mencatat kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu, Malaysia tampil dengan serba tidak menjadi terutama pada aspek serangan mereka yang tumpul untuk mendapatkan gol.
Namun, lebih mengecewakan aspek pertahanan negara juga kadangkala tampil sangat longgar walaupun lawan hanya sesekali mencipta serangan sepanjang aksi berlangsung.
Antara pemain paling keras menerima kritikan terarah kepada salah seorang pertahanan negara iaitu Dominic Tan Jun Jin yang tampil serba tidak menjadi sepanjang aksi berlangsung.
Untuk rekod, Kim Pan-gon telah menyenaraikan Dominic sebanyak dua kali sepanjang saingan Pestabola Merdeka tahun ini untuk membentuk gandingan bersama Dion Cools di posisi pertahanan tengah.
Namun, pemain ini boleh dikatakan tampil beraksi bawah jangkaan peminat yang mengharapkan lebih sehingga dua gol malam ini turut dikatakan berpunca daripada kesilapan Dominic.
Menerusi tinjauan di media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), rata-rata penyokong kurang senang dengan kelibat pemain itu sehingga banyak kritikan dilemparkan kepada pemain tersebut.
Antara kritikan yang paling popular sudah tentu apabila ada penyokong yang menyatakan kelibat Domini tidak ubah seperti bintang pertahanan England, Harry Maguire.
Maguire seperti diketahui ramai menjadi antara pertahanan yang sering menerima kritikan serta menjadi bahan gurauan sesama penyokong di seluruh dunia, kerana kelemahan beliau ketika beraksi di posisi tersebut.
Selain itu, beberapa kritikan keras turut diberikan kepada Dominic, dengan segelintir daripada mereka berharap supaya pemain tersebut tidak lagi dipanggil pada saingan akan datang bersama pasukan negara.
Sebenarnya, sejak aksi menentang India tempoh hari lagi kelibat pemain ini kurang digemari segelintir penyokong kebangsaan yang menyifatkan beliau kerap membuat kesalahan mudah.
Kelemahan yang dilalui Dominic ini sebenarnya merupakan satu bentuk pembelajaran buat beliau untuk mengetahui di mana sisi kelemahan perlu diperbaiki jika nama pemain tersebut terus disenaraikan bersama skuad kebangsaan selepas ini.
Walau seteruk mana aksi Dominic, pemain ini tetap menampilkan aksi bersungguh-sunguh sebenarnya pada perlawanan tersebut untuk memastikan pertahanan negara tidak terus bocor dengan menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.