Pestabola Merdeka Ada Nilai Tersendiri, Jangan Skeptikal Penganjurannya

Pestabola Merdeka

“Bazir masa, tiada faedah, langsung tiada mata ranking, menghabiskan duit anjur kejohanan yang sia-sia, cover balik kekalahan Piala AFF la tu, baik sertai kejohanan antarabangsa lain,”

Itu antara komen ‘penyokong’ bola sepak negara yang skeptikal selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penganjuran semula kejohanan Pestabola Merdeka. Ada sahaja yang tidak kena di mata segelintir daripada mereka.

Tetapi tahukah mereka mengenai sejarah Pestabola Merdeka? Ini antara kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia yang mula dianjurkan sejak merdeka pada tahun 1957.

Ya, era gemilang kejohanan ini telah lama berlalu. Ia tidak sama seperti ketika tahun 50-an hingga awal 80-an di mana ia mampu menarik pasukan-pasukan utama Asia untuk menyertainya.

Antara negara yang pernah menyertai kejohanan jemputan ini adalah gergasi Asia kini, Korea Selatan yang telah menjuarai kejohanan ini sebanyak 9 kali, 4 kali berkongsi kejuaraan.

Kejohanan yang ada nilai estetika

Walaupun hanya kejohanan jemputan atau membazir masa bagi sesetengah penyokong, tetapi ia mempunyai nilainya yang tersendiri samaada bagi penyokong ‘otai’ dan bekas-bekas pemain.

“Amat menyedihkan kita telah ‘hilang’ hari-hari gemilang itu dan apa yang tinggal kini hanyalah kenangan-kenangan indahnya,” tutur lagenda bola sepak negara era 60-an, Datuk M. Kuppan.

Dipetik berkata kepada akhbar The Star, Kuppan yang juga bekas ketua jurulatih negara itu menyatakan yang era tersebut adalah era kegemilangan bola sepak negara dan ia turut mendapat sambutan daripada segenap penyokong kerana ada nilainya yang tersendiri.

“Ketika itu, semua penyokong begitu memuja pasukan kebangsaan kita. Ia adalah sesuatu yang sangat menyentuh perasaan melihatkan suasana yang hebat dan juga stadium yang penuh.

Foto: Babap.net

“Bas pemain tidak dapat memasuki kawasan stadium kerana jalan masuk ke stadium menjadi sesak walaupun terdapat anggota polis yang mengawalnya. Kami terpaksa turun dari bas dan berjalan kaki.

“Itulah antara tahun-tahun menakjubkan dalam sejarah Pestabola Merdeka. Kita dapat bersaing dengan pasukan-pasukan utama Asia yang turun beraksi seperti Korea Selatan, Jepun, Burma, Indonesia, India, Singapura dan Thailand,” kenang Kuppan.

Salah FAM sebab kerap tak anjur

Antara kesalahan FAM dalam isu ini semestinya adalah apabila kerap mengenepikan kejohanan ini. Kejohanan berprestij sebegini kian hilang ditelan dek zaman bermula pada penghujung 80-an.

Jika dihitungkan, sebanyak 20 edisi kejohanan ini tidak dianjurkan. Secara tidak langsung, ia telah menghilangkan prestij penganjurannya waima ia hanyalah kejohanan jemputan. Terbaru, selepas lima tahun ‘hilang’, kejohanan itu bakal dikembalikan.

Aspek penganjuran yang tidak konsisten sebegini mengurangkan minat dan tarikan pasukan-pasukan utama terhadap kejohanan ini.

Selain itu, lagenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh turut berkongsi pendapatnya kepada portal FMT yang segalanya bermula dengan tindakan FAM yang dilihat ketika itu mula menurunkan bukan pemain utama untuk kejohanan tersebut.

“Mungkin salah FAM kerana tidak menurunkan pemain utama pada kejohanan itu yang menyebabkan negara jemputan ke kejohanan itu menurunkan pemain simpanan.

“Ini menyebabkan kejohanan itu kurang mendapat sambutan dan akhirnya tidak dianjurkan. Apapun saya mahu Pestabola Merdeka dikembalikan semula,” ujar Santokh lagi.

Tiru Piala Raja Thai anjuran FA Thailand

King’s Cup ataupun Kejohanan Piala Raja Thai juga adalah kejohanan bola sepak jemputan anjuran Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) yang mula diperkenalkan sejak 1968. Ianya konsisten berlangsung dan hanya 5 kali tidak dianjurkan.

Melibatkan hanya 4 pasukan, berkonsep kalah mati dan setiap pasukan mendapat dua perlawanan. Ia masih mampu menarik pasukan-pasukan yang memiliki ranking yang baik di dunia.

Sebagai contoh pada edisi lalu, King’s Cup telah disertai oleh pasukan ranking atas 100 dunia iaitu Slovakia, Gabon dan UAE.

Malaysia juga pernah menyertai kejohanan ini sekitar hujung era 60-an dan era 70-an. Malaysia menang dalam 4 edisi.

Cadangan untuk pentadbiran baru FAM, kekalkan penganjuran Pestabola Merdeka dan ‘meniru’ kaedah FAT kendalikannya iaitu dengan menjemput pasukan-pasukan yang berkualiti.

FOTO: Mohd Shah

Perlawanan akan hanya melibatkan empat hari penganjuran tetapi jika pasukan yang hadir adalah yang lebih baik daripada Harimau Malaya, sedikit sebanyak ia membantu pasukan kebangsaan.

Jika FAM kembali konsisten menganjurkan kejohanan ini, ia akan kembali menjadi tumpuan pasukan-pasukan terbaik untuk mendapat dua aksi persahabatan berkonsepkan kejohanan.

Edisi kali ini mungkin boleh bermula dengan menjemput pasukan yang berada di ranking atas Malaysia antara 166 hingga ke 100 dunia. Pasukan manakah yang berpotensi untuk dijemput?

Pasukan yang boleh FAM jemput

Seiring pengumuman FAM yang pasukan senior akan kembali ke Pestabola Merdeka, berikut adalah pasukan-pasukan yang berada di ranking ke-101 hingga ke-166 dunia pada Disember 2018.

Berdasarkan senarai tersebut, FAM mempunyai banyak pilihan. Tidaklah asyik-asyik lawan Sri Lanka, Nepal, Maldives ataupun rakan Asia Tenggara lain. Harus diakui, penyokong sudah muak.

Jadi, mungkin pasukan-pasukan seperti Korea Utara, Jordan, New Zealand, Togo, Latvia dan sebagainya boleh dijemput oleh FAM. Selain memiliki daya penarik untuk penyokong untuk turun, pasukan kebangsaan juga akan beroleh perlawanan yang baik.

Selain itu, untuk yang mempersoalkan mengenai mata ranking, tiada masalah untuk Harimau Malaya meraih mata kerana ia seperti melalui dua perlawanan persahabatan tetapi berkonsep kejohanan.

Ini saja cara untuk Pestabola Merdeka kekal releven. Dengan menjenamakan semula kaedah penganjuran, ia membantu skuad kebangsaan mendapat aksi berkualiti dan juga mata ranking.

Penutup

FAM perlu konsisten untuk penganjuran Pestabola Merdeka bermula dengan edisi kali ini. Ini adalah kejohanan yang ada nilainya yang tersendiri kepada sejarah bola sepak negara.

Penyokong era baharu juga tidak boleh disalahkan jika mereka memikirkan mengapa dianjurkan kejohanan yang membazir sebegini kerana mereka kurang pengetahuan mengenai nilainya.

Dengan perubahan pentadbiran kian menampakkan aura positif, diharapkan Pestabola akan kekal dianjurkan disamping akan mampu menarik beberapa pasukan ternama pada satu hari nanti.

Kredit featured image: google.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN