Pestabola Merdeka 2024: Syamer Kutty Antara Paling Cemerlang Di Pentas Final

Saingan Pestabola Merdeka 2024 secara rasminya telah pun menutup tirai dengan kejayaan berpihak kepada Malaysia buat kali ke-13 selepas mereka mengetepikan cabaran Lubnan.

Kemenangan 1-0 sudah cukup buat kem kebangsaan menyambut kejayaan itu bawah kendalian Pau Marti Vicente yang merupakan pengendali baharu skuad Harimau Malaya.

Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Malaysia jelas tampil berbeza sepanjang tempoh perlawanan berlangsung dengan Lubnan hadir serba kurang menyakinkan.

Keputusan positif itu juga melonjakkan nama Pau Marti Vicente yang setakat ini sudah pun menghadiahkan dua kemenangan berturut-turut serta memberi kejuaraan sulung kepada bola sepak Malaysia.

Penghargaan penuh sudah tentu wajar diberikan kepada beliau yang turut bertindak untuk memilih senarai pemain berkualiti untuk mewakili Harimau Malaya kali ini.

Imbas kepada aksi semalam, tiga pemain Malaysia pada pengamatan kami berjaya memberikan impak cukup besar untuk menghadiahkan kemenangan istimewa buat para penyokong.

Romel Morales

Jika aksi lalu beliau antara dikritik kerana kurang memberi kesan positif buat posisi serangan negara, aksi kali ini jelas segalanya tampil lebih baik buat penyerang naturalisasi itu di atas padang.

Morales kali ini dilihat lebih rajin untuk bergerak serta memastikan aliran bola di bahagian serangan tidak putus selain membentuk kombinasi serangan berbahaya bersama rakan sepasukan lain.

Malah, Morales tampil membuktikan mengapa beliau wajar menyarung jersi Harimau Malaya apabila dirinya meledak gol tunggal yang mencetuskan kemenangan buat skuad kebangsaan.

Endrick dos Santos

Segala punca serangan Harimau Malaya boleh dikatakan berpunca daripada kebijaksanaan Endrick selaku jeneral utama buat posisi hadapan pasukan kebangsaan.

Seawal perlawanan berlangsung lagi Endrick memastikan siri serangan negara tampil berbeza jika dibandingkan pada aksi sebelum ini menerusi kualiti hantaran serta kreativiti beliau untuk mengatasi lawan.

Kualiti individu pemain naturalisasi dari Brazil itu juga beberapa kali berjaya mengelirukan lawan selain kerajinan dirinya untuk bergerak serata arah bagi mendapatkan penguasaan bola.

Syamer Kutty

Boleh dianggap sebagai salah seorang pemain paling menyerlah di atas padang menerusi kualiti dipersembahkan Syamer buat Harimau Malaya sejak wisel awal permainan ditiupkan.

Sikap agresif Syamer antara wajar dicontohi mana-mana pemain dalam memastikan lawan tidak dapat menguasai bola lebih lama selain dirinya tampil mematikan setiap ancaman berbahaya cuba dijelmakan.

Gandingan beliau bersama Nooa Laine memastikan Lubnan gagal untuk menyusup daripada bahagian tengah selain masing-masing menjalankan tugas sangat baik menerusi persefahaman telah dipamerkan.

Sumber:
Kredit foto: Shah Amirul Semuanya BOLA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN