Malaysia berjaya mengesahkan diri mereka selaku juara Pestabola Merdeka edisi 2024, apabila skuad kendalian Pau Marti Vicente mengetepikan cabaran Lubnan menerusi kemenangan tipis 1-0.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Harimau Malaya memperoleh gol tunggal pada perlawanan akhir itu melalui ledakan Romel Morales di separuh masa pertama.
Awal permainan menyaksikan Malaysia lebih banyak memberi tekanan buat lawan bersama gerakan positif dicipta dalam usaha mendapatkan gol awal perlawanan.
Lima minit awal perlawanan jelas segalanya berkisarkan Malaysia yang lebih banyak menguasai permainan selain beberapa gerakan berbahaya dicipta melalui Safawi Rasid.
Selepas 10 minit aksi berlangsung, Lubnan dilihat mula menyesuaikan diri dalam permainan untuk perlahan-lahan cuba mengimbangi skuad Harimau Malaya.
Kehadiran bintang naturalisasi dari Brazil iaitu Endrick dos Santos jelas memberi impak buat serangan negara yang lebih baik berbanding pada aksi lalu.
Tertekan akan asakan dicipta oleh tuan rumah, beberapa kekasaran terpaksa dibuat oleh Lubnan dalam usaha mereka untuk menghentikan seketika momentum serangan Malaysia.
Akhirnya Malaysia berjaya membuka akaun jaringan menerusi Romel Morales pada minit ke-32 selepas beliau melepaskan satu rembatan deras dalam petak penalti ketika situasi sedikit kelam kabut.
Memasuki minit akhir separuh masa pertama, Malaysia masih belum mengendurkan asakan mereka dengan siri serangan pantas terus dijana untuk memberi kekalutan buat benteng pertahanan Lubnan.
Separuh masa kedua menyaksikan Pau Marti Vicente mencipta dua perubahan dengan membawa masuk Akhyar Rashid bersama Arif Aiman Hanapi untuk memperkukuhkan lagi aspek serangan Harimau Malaya.
Impak diberikan oleh Arif sangat positif selepas kelincahan beliau hampir menghadiahkan jaringan kedua buat Malaysia di pentas final pada minit ke-52.
Sesekali Lubnan tampil berbahaya menerusi beberapa percubaan untuk menguji ketangkasan penjaga gol utama negara, Syihan Hazmi.
Memasuki minit ke-65, Malaysia dilihat tidak cuba untuk mengendurkan asakan dengan banyak gerakan-gerakan positif dicipta mereka untuk memburu gol kedua permainan.
Enggan mengalah, Lubnan tampil membuat dua pertukaran dengan salah seorang pemain tumpuan terarah kepada bekas penyerang berbisa Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Rabih Ataya pada minit ke-69.
Lubnan terus ditimpa malang, selepas merekaa terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain apabila Khalil Khamis dilayangkan kad merah oleh pegadil bertugas.
Berbaki lima minit akhir perlawanan, aksi ditampilkan kedua pasukan semakin sengit apabila masing-masing saling berbalas serangan selain ada sedikit pertelingkahan kecil turut berlaku.
Keputusan kekal tamat dengan kemenangan akhirnya berpihak buat Malaysia serta ia merupakan kejuaraan sulung kepada Pau Marti selaku jurulatih baharu Harimau Malaya.
Kesebelasan Utama
Malaysia: Ahmad Syihan Hazmi Bin Mohamed (Penjaga Gol), Matthew Thomas Davies, Dominic Tan Jun Jin, Endrick dos Santos Parafita, Muhammad Safawi Bin Rasid, Mohammad Syamer Bin Kutty Abba, Nooa Hamzah Laine, Muhammad Syafiq Bin Ahmad, Dion Johan Chai Cools (Kapten), La’vere Lawrence Corbin Ong, Romel Oswaldo Morales Ramirez
Lubnan: Mehdi Khalil (Penjaga Gol), Mohammad El Hayek, Khalil Khamis, Nassar Nassar, Karim Darwich, Omar Chaaban, Majed Osman, Ahmad Kheir El Dine, Gabriel Bitar, Jihad Ayoub, Kassem El Zein